Am 11/11/2026 08:04 PM

Malaysia Terima Sokongan Banyak Negara Untuk Kekal Dalam Majlis ITU - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Terima Sokongan Banyak Negara Untuk Kekal Dalam Majlis ITU - Fahmi

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

DOHA, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia menerima maklum balas positif dan sokongan daripada banyak negara dalam usaha mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menjelang pemilihan yang dijadual berlangsung pada 16 Nov ini.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sokongan itu dizahirkan menerusi beberapa siri pertemuan dua hala dan resepsi makan tengah hari yang diadakan bersama dengan delegasi negara anggota sempena Persidangan Perwakilan Penuh ITU 2026 (PP-26) di sini.

Beliau berkata perkembangan itu adalah petanda positif terhadap usaha Malaysia untuk terus memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan sektor telekomunikasi di peringkat antarabangsa.

"Alhamdulillah, kita telah selesai beberapa perkara persiapan untuk menghadapi proses pemilihan semula bagi kerusi Ahli Majlis ITU.

"Banyak daripada perbincangan sama ada sewaktu resepsi tersebut ataupun dalam siri mesyuarat dua hala menunjukkan bahawa banyak negara memberikan sokongan kepada Malaysia untuk dipilih semula ke Majlis ITU," katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri resepsi makan tengah hari bersama dengan delegasi antarabangsa bersempena dengan ITU PP-26 di sini hari ini.

Mengakhiri lawatan kerja enam hari ke Doha, Fahmi berkata pemilihan semula Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kepada Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta agensi berkaitan untuk memperkukuh penglibatan negara dalam pembangunan dasar dan teknologi telekomunikasi global.

Beliau berkata Malaysia mempunyai pelbagai pengalaman dan kepakaran yang boleh dikongsi dengan negara lain khususnya dalam pembangunan infrastruktur digital, keselamatan data dan pelaksanaan teknologi komunikasi generasi baharu.

Fahmi berkata antara inisiatif yang menarik perhatian negara lain ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan pengalaman Malaysia melaksanakan peralihan rangkaian 5G daripada model rangkaian borong tunggal kepada model dwirangkaian.

"Pengalaman Malaysia mengemudi isu-isu ini sudah pasti boleh menjadi contoh ataupun ada beberapa pengajaran yang boleh diambil oleh negara-negara lain.

"Jadi, kita bersedia untuk berbincang dan saya juga minta supaya siri perbincangan ini diperluas, diperhebat dan insya-Allah, dengan Malaysia kekal berada dalam Majlis ITU, kita boleh memainkan peranan yang lebih besar selepas ini," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata Malaysia berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menyuarakan kepentingan negara membangun khususnya bagi menangani jurang digital yang semakin melebar akibat perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata selain cabaran ketersambungan asas seperti kabel dasar laut, menara telekomunikasi dan komunikasi satelit, dunia kini berdepan cabaran baharu dikenali sebagai jurang keupayaan pengkomputeran.

Fahmi berkata jurang itu berlaku apabila sesetengah negara mempunyai keupayaan AI dan pengkomputeran yang jauh lebih maju berbanding negara lain sekali gus berisiko meningkatkan ketidaksamaan digital global.

Malaysia, katanya, turut memberi perhatian kepada keperluan mempercepat migrasi teknologi kuantum khususnya bagi memperkukuh keselamatan data dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur digital yang menyeluruh dan keupayaan melindungi data perlu bergerak seiring bagi memastikan pertumbuhan ekonomi digital dapat dinikmati secara lebih inklusif.

-- BERNAMA