KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), khususnya yang mempunyai bukti dan kesahihan mengikut peruntukan undang-undang, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata isu tanah NCR sering dibangkitkan pihak tertentu, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13).
“Kerajaan negeri bukan sahaja mengiktiraf tanah adat Bumiputera yang ada bukti dan kesahihan mengikut perundangan, tetapi kita juga menjalankan kerja-kerja penyukatan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera, Surat Hak Milik Tanah dan Cek Pampasan Tanah bagi Bahagian Samarahan, di sini hari ini.
Awang Tengah berkata kerja-kerja penyukatan tanah NCR telah dilaksanakan sejak 1960-an, namun hanya kira-kira 260,000 hektar berjaya disukat sehingga 2010.
Beliau berkata kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu pada 2010 bagi mempercepat proses penyukatan, sekali gus memberikan jaminan terhadap hak pemilikan tanah Bumiputera.
“Sekarang ini pembangunan rancak berjalan. Kalau kita tidak bantu dan mempercepat usaha-usaha penyukatan ini, ia akan mendatangkan banyak masalah.
“Dari 2010 hingga Oktober lepas, kerja-kerja penyukatan di bawah inisiatif baharu itu melibatkan kira-kira 1.2 juta hektar tanah, manakala secara keseluruhan lebih tiga juta hektar tanah telah berjaya disukat dan hampir satu juta hektar telah diwartakan,” katanya.
Beliau berkata bagi mempercepat proses berkenaan, kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM40 juta tahun ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, manakala penamaan calon pada 28 Nov dan pengundian awal pada 8 Dis.
-- BERNAMA