Oleh Siti Fauziah Hasan
PORT DICKSON, 11 Nov (Bernama) -- Negeri Sembilan mengekalkan status sifar miskin tegar sejak 2023 menerusi pelbagai inisiatif bersasar bagi membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Datuk Noor-Ihsan Che Mat berkata bagaimanapun, sebanyak 2,492 ketua isi rumah (KIR) masih berada dalam kategori miskin di negeri itu, dengan Seremban mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 1,238 KIR setakat semalam.
“Cabaran menangani kemiskinan di kawasan bandar seperti Seremban lebih kompleks berikutan kos sara hidup dan kadar sewa rumah yang tinggi berbanding kawasan luar bandar.
“Di kawasan kampung, walaupun keadaan rumah mungkin tidak begitu baik tetapi mereka masih mempunyai sumber makanan dan sokongan persekitaran manakala di bandar, kos sewa rumah sahaja sudah tinggi,” katanya kepada Bernama selepas Program Jelajah MADANI Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata usaha membasmi kemiskinan tidak hanya bergantung pada data sistem eKasih sebaliknya turut dilaksanakan menerusi pendekatan turun padang termasuk Program Jelajah MADANI Negeri Sembilan bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.
Noor-Ihsan berkata kerjasama antara agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan agensi berkaitan membolehkan bantuan diselaraskan menerusi pasukan bergerak di peringkat daerah.
Beliau berkata pendekatan itu turut melibatkan perbincangan dalam mesyuarat peringkat daerah bagi mengenal pasti keperluan setiap isi rumah dan menentukan bentuk bantuan yang bersesuaian.
"Jika sesebuah keluarga mempunyai ahli yang tidak lagi produktif dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan JKM, kita akan melihat potensi ahli keluarga lain, contohnya anak yang sudah tamat pengajian tetapi masih belum bekerja, untuk diberikan peluang pekerjaan.
"Jika mereka minat berniaga, kita boleh bantu dari segi mendapatkan lesen dan menyediakan kemudahan seperti gerai burger yang boleh menjana pendapatan lumayan selain mengikuti kursus jangka pendek berkaitan pengendalian makanan," katanya.
Noor-Ihsan berkata inisiatif meningkatkan pendapatan itu dilaksana berdasarkan minat dan keupayaan penerima manakala kadar gaji bergantung pada syarikat yang menawarkan pekerjaan.
Dalam pada itu, Noor-Ihsan berkata usaha mengurangkan kemiskinan turut diperkukuh menerusi penetapan sasaran atau lock figure sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap daerah.
Beliau berkata sasaran pengurangan sebanyak 5,975 KIR miskin ditetapkan sebagai KPI negeri pada Januari 2025, dengan empat daerah iaitu Rembau, Jelebu, Tampin dan Port Dickson berjaya mencapai sasaran berkenaan manakala tiga lagi daerah dijangka mencapai matlamat itu dalam masa terdekat.
Noor-Ihsan berkata setiap pejabat daerah juga mempunyai KPI tersendiri termasuk pemantauan berkala terhadap perkembangan isi rumah yang dikenal pasti bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar dan berkesan.
Beliau berkata pemantauan itu penting bagi mengenal pasti perubahan kedudukan ekonomi penerima termasuk peningkatan pendapatan dan keperluan bantuan tambahan bagi mengelakkan mereka kembali terjerumus dalam kemiskinan.
-- BERNAMA