Am 11/11/2026 05:41 PM

Wakil Calon PH DUN Asahan Maut Dalam Kemalangan Di Jasin - Polis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Wakil Calon PH DUN Asahan Maut Dalam Kemalangan Di Jasin - Polis

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Wakil calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 maut selepas kenderaan dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Pondok Batang, Jasin hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata pihaknya menerima laporan mengenai nahas membabitkan J.Samivel pada 12.45 tengah hari, yang menyaksikan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa dari arah Nyalas menghala ke Asahan manakala lori dari arah Asahan menghala ke Nyalas... setibanya di lokasi kejadian, mangsa hendak membelok ke kanan untuk ke bilik gerakan PH DUN Asahan.

“Kemudian, datang lori yang sedang bergerak lurus di laluan sahnya tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu lori yang berusia 26 tahun dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Jasin untuk ujian saringan air kencing.

Samivel, 62, adalah wakil calon PH P.Denesh bagi PRN Melaka ke-16 yang hari pengundiannya ditetapkan Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/pm/melaka/2026/.

-- BERNAMA