KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) merampas karkas babi dan ayam serta pelbagai peralatan bernilai keseluruhan RM2.04 juta menerusi Ops Salju dan Ops Frozen Fly di tiga lokasi berasingan di sekitar Selangor dan ibu negara, semalam.
Operasi yang diketuai Ketua Unit Operasi Khas Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar (IPPV) Putrajaya itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB).
DVS menerusi Facebook hari ini memaklumkan operasi berkenaan dijalankan bagi mengesan pelanggaran perundangan berkaitan haiwan dan produk haiwan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa.
Menurut jabatan itu serbuan pertama di Pelabuhan Klang, Selangor membawa kepada rampasan karkas babi seberat 8,562.50 kilogram (kg) bernilai RM299,687.50.
"Sementara itu, serbuan di Semenyih, Selangor membawa kepada rampasan karkas babi seberat 7,440 kg bernilai RM260,400, selain sebuah kontena dan dua forklift bernilai keseluruhan RM341,600,” menurut kenyataan itu.
Bagi serbuan di Taman Ehsan Industrial Park di sini, pihak berkuasa menyita 45,684 kg karkas ayam bernilai RM1.14 juta yang disyaki menggunakan sijil halal palsu, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan di ketiga-tiga lokasi berjumlah RM2,043,787.50.
DVS memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Binatang 1953 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
“Kerjasama antara agensi akan terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang serta memelihara kepentingan pengguna,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA