Am 11/11/2026 05:43 PM

MDEC, Tujuh Institusi Kewangan Bekerjasama Perkasa Akses Pembiayaan PKS Menerusi NEFX

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MDEC, Tujuh Institusi Kewangan Bekerjasama Perkasa Akses Pembiayaan PKS Menerusi NEFX
Kredit: MDEC

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjalin kerjasama dengan tujuh institusi kewangan untuk memperluaskan peluang pembiayaan kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menerusi Bursa Pembiayaan E-Invois Kebangsaan (NEFX).

Tujuh rakan kongsi pembiayaan perintis itu ialah CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, AFFIN Bank Bhd, Alliance Bank Bhd, Funding Societies, CapBay dan Bettr.

Dalam satu kenyataan hari ini, MDEC iaitu agensi di bawah Kementerian Digital menjelaskan bahawa NEFX bertujuan meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan sambil menangani cabaran utama yang dihadapi oleh bank dan institusi kewangan lain dalam menilai kelayakan kredit, menguruskan risiko pinjaman dan menilai keupayaan pembayaran balik. 

Pengerusi MDEC Ganesh Kumar Bangah berkata NEFX mahu menangani cabaran pembiayaan yang dihadapi oleh PKS, di samping membolehkan institusi kewangan membuat keputusan untuk memberi pinjaman berasaskan maklumat yang lebih lengkap.

“NEFX bukan bertujuan untuk melonggarkan piawaian pemberian pinjaman. Sebaliknya, ia memanfaatkan data transaksi digital yang boleh dipercayai, bertujuan mempertingkatkan ketelusan, menyokong keputusan pemberian pinjaman yang lebih bermaklumat dan mewujudkan peluang bagi institusi kewangan untuk mengembangkan portfolio pembiayaan PKS mereka sambil menguruskan risiko dengan lebih berkesan,” katanya.

Selain itu, sebagai Pihak Berkuasa Peppol Malaysia, MDEC sedang membangunkan pelaksanaan e-Invois boleh kendali bagi meningkatkan kecekapan perniagaan dan menggalakkan penggunaan digital, manakala NFEX pula menawarkan insentif tambahan menerusi potensi akses kepada pembiayaan. 

Ganesh berkata MDEC juga sedang meningkatkan pelaksanaan Pertukaran Pengkomputeran AI Kebangsaan (NACX), yang bertujuan memperluaskan akses kepada sumber pengkomputeran kecerdasan buatan (AI) bagi perniagaan di Malaysia.

“Kedua-dua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi MDEC yang lebih meluas untuk membantu PKS menjadi lebih produktif, kompetitif dan akhirnya berkembang menjadi perusahaan yang dipacu oleh AI, sekali gus menyokong cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah negara AI menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Azlan Sharom berkata NEFX bertujuan memberikan lebih keterlihatan kepada institusi pembiayaan terhadap transaksi perniagaan melalui analisis yang diperkasakan oleh AI.

Beliau berkata penglibatan institusi kewangan sejak dari awal adalah penting bagi memastikan NEFX memenuhi keperluan operasi dan pinjaman mereka.

“Dengan melibatkan mereka sejak dari awal lagi, kami boleh membangunkan NEFX berdasarkan  pertimbangan yang praktikal, selain mewujudkan ekosistem pembiayaan yang lebih cekap dan boleh diperluaskan, sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA