DHAKA, 11 Nov (Bernama-dpa) -- Pihak berkuasa Bangladesh menolak permohonan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang kini hidup dalam buangan untuk mendapatkan pasport dan kad pengenalan bagi membolehkannya pulang dari India, sebaliknya menegaskan beliau perlu diekstradisi untuk menjalani hukuman mati, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketua Pendakwa Raya Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) Bangladesh, Aminul Islam berkata undang-undang pasport negara itu tidak membenarkan pengeluaran pasport kepada individu yang melarikan diri daripada proses kehakiman atau berstatus buruan.
"Di bawah undang-undang pasport, seseorang tertuduh yang mengelak proses kehakiman atau masih menjadi buruan tidak boleh diberikan pasport," kata beliau di Dhaka pada Selasa.
Islam berkata Hasina hanya boleh dibawa pulang secara sah melalui proses ekstradisi berdasarkan perjanjian yang dimeterai antara Bangladesh dan India pada 2013.
ICT menjatuhkan hukuman mati terhadap Hasina pada November tahun lepas atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan ketika kebangkitan rakyat pada 2024, yang menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun.
Hasina, 79, menetap di India sejak melarikan diri dari Bangladesh menaiki pesawat tentera pada 5 Ogos 2024.
Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keganasan yang berlaku ketika kebangkitan itu mengorbankan 1,400 nyawa dan menyebabkan ribuan lagi cedera.
Akhbar Hindustan Times dari India melaporkan bahawa peguam Hasina yang berpangkalan di London telah mengutus surat kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di New Delhi bagi memohon pasport baharu dan kad pengenalan.
Menurut akhbar itu, permohonan berkenaan merupakan langkah paling jelas setakat ini yang menunjukkan kesungguhan Hasina untuk merealisasikan hasratnya pulang ke tanah air.
Hasina sebelum ini memberitahu pemimpin dan aktivis partinya dalam beberapa pertemuan secara dalam talian baru-baru ini bahawa beliau akan pulang ke Bangladesh walau apa cara sekalipun.
Bagaimanapun, Islam berkata Hasina sudah berstatus buruan sebelum beliau disabitkan kesalahan.
"Waran tangkap telah dikeluarkan untuk membawanya pulang dan notis turut disiarkan dalam akhbar. Beliau telah mengelak daripada menghadapi prosiding kehakiman," katanya.
-- BERNAMA-dpa