Am 11/11/2026 10:24 AM

Mimbar Berusia 100 Tahun Singkap Khazanah Warisan Islam Perak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mimbar Berusia 100 Tahun Singkap Khazanah Warisan Islam Perak
Gambar hiasan.

Walaupun telah lebih satu abad sejak ditukang dan diukir, mimbar di enam buah masjid tertua di negeri ini tidak langsung menunjukkan tanda-tanda dimamah usia, menjadi bukti kecerdasan watan atau kepintaran peribumi zaman dahulu. 

Mimbar-mimbar yang diperbuat daripada kayu ini; antara binaan terpenting di sesebuah masjid; merupakan satu karya seni yang turut bercerita tentang tukangnya serta sejarah di sebalik.  

Penemuan itu antara yang dibongkar dalam kajian yang dijalankan di bawah Projek Perundingan Mimbar Warisan Negeri Perak 2026 oleh sekumpulan penyelidik, diketuai pensyarah kanan di Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Harleny Abd Arif.  

"Penemuan yang kita dapat tentang mimbar ini berdasarkan fakta bertulis, temu bual dengan penduduk setempat dan pelbagai sumber rujukan.

“Kajian ini juga bukan sekadar melihat usia mimbar tetapi turut meneliti ragam hias, teknik pertukangan serta naratif budaya yang terkandung pada binaan tersebut," jelasnya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

 

UKIRAN FLORA DAN SUSUNAN KAYU

Dibiayai oleh Kerajaan Negeri Perak menerusi Kampung Karyawan Amanjaya (PORT), projek yang dijalankan dari Jun hingga Oktober 2026 itu bertujuan mengkaji dan mendokumentasikan lapan buah mimbar masjid berusia lebih 100 tahun di seluruh Perak.

Namun, menurut Harleny, cuma enam mimbar didapati berusia lebih sedekad, iaitu mimbar Masjid Batu di Kuala Kurau; Masjid Panglima Kinta; Masjid Paloh dan Masjid Ahmadiah Kampung Kepayang di Ipoh; Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar;  serta Masjid Kampung Teluk Memali Seri Bougainvillea di Bandar Seri Botani.

Maju Johor
Pensyarah kanan di Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Harleny Abd Arif.

Katanya, bahan yang digunakan untuk pembuatan mimbar biasanya adalah kayu cengal, resak dan meranti merah yang dipilih berdasarkan daya tahan, namun setiap satu menampilkan reka bentuk tersendiri yang membezakan antara satu pengukir dengan pengukir yang lain.

Selain itu, struktur berkenaan juga menyerlahkan seni ketukangan Melayu zaman dahulu yang tidak menggunakan paku.

Menurut beliau, setiap mimbar tersebut dilengkapi dengan tangga dan kubah serta menampilkan ukiran halus motif flora diinspirasikan daripada alam semula jadi, menepati tuntutan Islam yang tidak membenarkan ukiran atau lukisan makhluk bernyawa.

Daripada enam mimbar berkenaan, kajian pasukan penyelidik itu mendapati mimbar di Masjid Ahmadiah Kampung Kepayang sebagai yang tertua, dibina pada 1905.

“Kita ketahui hal ini berdasarkan inskripsi 1323 Hijrah pada panel dinding mimbar, dan pengukirnya dikenal pasti sebagai Megat Ja’afar yang merupakan keturunan Megat Terawis, iaitu Orang Kaya Bendahara Perak pertama pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I, Sultan Perak yang pertama.

"Menariknya, Megat Ja'afar juga adalah pengukir mimbar Masjid Kampung Teluk Memali yang dibina pada 21 Julai 1921 berdasarkan inskripsi pada panel gunungan mimbar,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, coretan nama pengukir serta tarikh pada mimbar itu juga menunjukkan satu bentuk kecerdasan watan kerana, pengukir pada masa itu sudah pun memikirkan tentang identiti karya mereka yang akan ditinggalkan untuk generasi masa depan.  

 

SEJARAH DI SEBALIK

Berkongsi lanjut penemuan kajian, Harleny berkata mimbar Masjid Kampung Teluk Memali turut mempunyai sejarah tersendiri kerana, masjid itu dan mimbarnya dipindahkan bersekali dengan seni bina dari tapak asal di Teluk Memali, Kampung Gajah ke Bandar Seri Botani di Ipoh.

Justeru katanya, dokumentasi itu amat penting bagi merakam perjalanan nilai khazanah tersebut.

Maju Johor
Walaupun telah lebih satu abad sejak ditukang dan diukir, mimbar di enam buah masjid tertua di negeri ini tidak langsung menunjukkan tanda-tanda dimamah usia.

Mimbar Masjid Paloh pula dikenal pasti dibina pada 1912 ketika pemerintahan Sultan Perak ke-28 Almarhum Sultan Idris Murshidul'adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar, dan uniknya, ragam hias pada mimbar didapati sangat mirip dengan mimbar Masjid Panglima Kinta.

Menurut beliau, mimbar Masjid Ubudiah pula tidak mempunyai rekod rasmi tentang tarikh pembuatan dan nama pengukir, namun dipercayai dibina sekitar 1917 berdasarkan usia binaan masjid yang kini mencecah 109 tahun.

"Mimbar di masjid itu setinggi 5.3 meter dari aras lantai hingga puncak berbentuk kubah, dan dipercayai diperbuat daripada kayu jati Afrika berkualiti tinggi yang dibawa dari Afrika Selatan ke Kuala Kangsar.

"Permukaan panel mimbar diperindah dengan seni ukiran berasaskan motif geometri seakan teknik Kündekâri pada era Turki Uthmaniyah dan Anatolia Seljuk dengan cara menyambung kepingan kayu secara saling mengunci (interlocking)," katanya.

Bagi mimbar Masjid Batu di Kuala Kurau pula, kajian menemukan inskripsi lengkap dengan nama penuh pengukir, iaitu Lebai Muhammad Saad Wan Ngah, serta tarikh pembuatannya pada 27 Julai 1916 tertulis di panel dinding mimbar.

“Sementara mimbar Masjid Panglima Kinta mencatatkan nama pengukir Mohamad Sufian Abdul Wahab yang berasal dari Pulau Pinang dan kini berusia 98 tahun, hampir mencapai usia satu abad,” jelas beliau.

 

MIMBAR CERMINAN IDENTITI PENGUKIR

Harleny berkata setiap ukiran serta seni ketukangan pada mimbar menjadi tanda pengenalan si pengukir yang masing-masing mempunyai ciri tersendiri.

“Pun begitu, ketelitian pengukir dapat dilihat pada setiap bahagian mimbar, mencerminkan tahap kemahiran dan penguasaan teknik yang tinggi hingga mampu menghasilkan karya yang dapat bertahan selama beberapa generasi.

Maju Johor
Bahan yang digunakan untuk pembuatan mimbar biasanya adalah kayu cengal, resak dan meranti merah yang dipilih berdasarkan daya tahan.

“Malah, kita boleh kenal pasti ciri-ciri kenegerian melalui reka bentuk mimbar, termasuk tata letak, papan kepala cicak dan hiasan kerawang, sama seperti kita lihat potongan pakaian atau reka bentuk rumah yang dapat beri petunjuk tentang negeri atau identiti masyarakat tertentu,” ulas beliau.

Harleny turut melihat nukilan nama pengukir serta tahun pembuatan pada mimbar itu sebagai satu bentuk hak cipta karya seni pengukir anak jati Perak, yang turut membantu beliau dan kumpulan penyelidiknya menyingkap naratif setiap struktur tersebut.

“Setiap satu bernilai sejarah dan mempunyai cerita tersendiri. Mimbar ini adalah antara khazanah warisan yang ditinggalkan dan diwarisi hingga hari ini," katanya.

Justeru, katanya, kajian tersebut penting bagi memastikan maklumat berkaitan mimbar warisan tidak hilang, selain membolehkan masyarakat memahami bahawa setiap khazanah berkenaan mempunyai nilai sejarah, seni dan budaya yang tersendiri.