KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pertemuan menentang India dan China dalam dua perlawanan pertama, bakal menjadi ujian awal buat skuad hoki wanita kebangsaan pada Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2026 di Bhopal, India dari 19 hingga 28 Nov.
Ujian itu susulan jurang ranking yang ketara, menyaksikan skuad negara kini berada pada kedudukan ke-21 dunia, berbanding India di tangga ketujuh dan China di tempat keempat dunia.
Ketua Jurulatih C.R. Kumar bagaimanapun melihat cabaran tersebut secara positif, sebagai medan terbaik untuk mengukur kemampuan sebenar pasukannya, selain menilai keberkesanan strategi yang dirangka sepanjang persiapan.
“Pada saya, jadual ini sebenarnya baik untuk pasukan, kerana kami akan berdepan dua pasukan yang kuat dalam perlawanan awal. Pasukan kami sedang berkembang dan berada dalam proses pembangunan yang positif. Kami juga sedang berusaha untuk mencapai tahap yang disasarkan.
“Sekiranya kita tidak mampu menguasai permainan sepenuhnya, kita perlu tahu bagaimana untuk mengawal lawan. Itulah antara perkara penting yang perlu diterapkan oleh pemain apabila berdepan India dan China nanti,” katanya menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), hari ini.
Malaysia membuka kempen menentang tuan rumah India pada 19 Nov, diikuti pertemuan dengan China (21 Nov), Korea Selatan (22 Nov), Jepun (24 Nov), sebelum menutup pusingan pusingan robin menentang Thailand pada 25 Nov.
Skuad negara yang selesai menjalani latihan intensif selama empat minggu, dijadual berlepas ke India pada Jumaat ini dengan kem latihan fasa akhir itu akan diteruskan di Gowalia, merangkumi siri latihan tambahan serta aksi persahabatan menentang Pasukan Wanita Akademi Hoki Gowalia.
Berikut senarai 20 pemain Malaysian Tigresses yang akan membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2026 di Bhopal, India, dari 19 hingga 28 November 2026.
Penjaga Gol
- Nur Hazlinda Zainal Abidin
- Fitrinur Amiera Ramlee
Pertahanan
- Noor Hasliza Md Ali
- Fatin Shafika Mahd Sukri
- Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin
- Zawiatul Akma Hartomo
- Nur Zuha Qistina Ridzuan
- Nur Shafika Ahmad Kamil
Tengah
- Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad
- Nur Insyirah Effarizal
- Siti Nur Irdina Mohd Nor
- Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha
- Siti Nur Atika Shaikh Maznan
- Nur Hanie Najwa Tarmizi
Penyerang
- Nur Afiqah Syahzani Azhar
- Nuramirah Shakirah Zulkifli
- Zati Alyani Muhammad Zubir
- Azmyra Mia Sofea Azhari
- Nur Zariefah Dania Mazlan
- Dian Nursyakira Najwa Al Wadqa Nazeri
-- BERNAMA