Am 11/11/2026 11:12 AM

16 Diselamatkan Dalam Banjir Kilat Di Sungai Bakap, Pokok Tumbang Hempap Kereta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
16 Diselamatkan Dalam Banjir Kilat Di Sungai Bakap, Pokok Tumbang Hempap Kereta
Kredit: JBPM Pulau Pinang

NIBONG TEBAL, 11 Nov (Bernama) – Sebanyak 16 orang termasuk enam kanak-kanak daripada tiga keluarga berjaya diselamatkan, selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Kampung Sethu, Sungai Bakap di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata hujan lebat berterusan, menyebabkan beberapa rumah di kawasan berkenaan dinaiki air sehingga paras kira-kira tiga kaki, sekali gus mengakibatkan penduduk terperangkap di dalam kediaman masing-masing.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah malam, sebelum enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap dikerahkan ke lokasi, bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan kesemua 16 mangsa terdiri daripada 10 dewasa dan enam kanak-kanak, sebelum menyerahkan mereka kepada waris yang berada di lokasi.

“Pemantauan turut dilakukan dan mendapati paras air beransur surut, sebelum operasi ditamatkan pada 2.30 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata dalam kejadian berasingan di Taman Jawi Jaya, Sungai Jawi malam tadi, banjir kilat turut melanda kawasan berkenaan dengan paras air dianggarkan setinggi satu kaki, susulan hujan lebat dan peningkatan paras air sungai berhampiran.

Beliau berkata enam anggota daripada Balai Bomba Penyelamat Nibong Tebal dikerahkan ke lokasi, bagi menjalankan pemantauan dan memastikan keselamatan kawasan terbabit, namun tiada mangsa terlibat.

Sementara itu, John berkata pihaknya turut menerima panggilan kecemasan pada 1.10 pagi tadi berhubung kejadian sebatang pokok tumbang di Kampung Changkat, Sungai Jawi, yang menghempap sebahagian kecil garaj serta sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Beliau berkata lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat Nibong Tebal dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang itu.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan operasi ditamatkan pada 3.35 pagi, selepas keadaan disahkan selamat sebelum lokasi diserahkan kepada pemilik rumah untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA