Am 11/11/2026 11:15 AM

Polis Melaka Tahan 11 Warga Thailand Disyaki Terlibat Sindiket Penipuan Dalam Talian

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Melaka Tahan 11 Warga Thailand Disyaki Terlibat Sindiket Penipuan Dalam Talian

MELAKA, 11 Nov (Bernama) -- Polis Melaka menahan 11 warga Thailand dalam serbuan di sebuah premis yang dipercayai beroperasi sebagai pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian, di Taman Kota Shahbandar di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita berusia antara 18 hingga 36 tahun itu, ditahan dalam serbuan kira-kira 10.10 malam.

Beliau berkata operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak awal Oktober lepas dan sindiket menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai agensi penguat kuasa undang-undang, yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Halim berkata siasatan awal turut mendapati, kesemua suspek dipercayai belum menerima sebarang bayaran gaji sepanjang tempoh penglibatan mereka dapam kegiatan itu.

Beliau berkata polis turut merampas 11 komputer riba, 11 telefon bimbit pelbagai jenama serta sebuah router Internet yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan itu, yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, khususnya yang meminta maklumat peribadi atau perbankan serta mengarahkan mangsa melakukan transaksi kewangan.

Pemilik rumah, inap desa dan pengusaha premis penginapan, turut diingatkan supaya lebih peka terhadap aktiviti penyewaan premis masing-masing dan segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesan sebarang kegiatan mencurigakan.

-- BERNAMA