Am 09/11/2026 05:15 PM

Banjir Hilir Perak: Nenek Kongsi Pengalaman Selamatkan Cucu OKU

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir Hilir Perak: Nenek Kongsi Pengalaman Selamatkan Cucu OKU
Dalam kesibukan menyesuaikan diri dengan suasana di pusat pemindahan sementara (PPS), mangsa banjir Mahani Zakaria, 75, tekun menyusun barangan peribadinya di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) hari ini. Biarpun terpaksa meninggalkan kediaman akibat banjir, warga emas itu tetap menguruskan keperluan hariannya sepanjang berlindung di PPS berkenaan. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

TELUK INTAN, 9 Nov (Bernama) -- Ketika banjir memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, keselamatan insan tersayang menjadi keutamaan bagi dua keluarga yang berdepan cabaran menjaga ahli keluarga rentan, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang terlantar.

Bagi Mahani Zakaria, 75, yang menjaga seorang anak OKU dan dua cucu yatim piatu, kebimbangan terhadap keselamatan mereka mengatasi soal harta benda apabila air mula memasuki rumahnya di Kampung Batu 10, Changkat Jong di sini beberapa hari lepas.

Mahani yang sudah menetap di rumah itu sejak berusia 14 tahun berkata beliau mula menyedari air naik di kawasan kediamannya kira-kira 7 malam sebelum segera mengemas dan menyimpan barangan di tempat lebih tinggi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir.

Beliau berkata air mula memasuki rumahnya sehingga mencapai paras lutut kira-kira 1 pagi, memaksa beliau menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bersama anak dan dua cucunya kira-kira 2 pagi.

“Mak cik sudah bersedia, cuma apabila air mula masuk ke dalam rumah, mak cik telefon bomba untuk datang ambil kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS berkenaan hari ini.

Mahani yang juga ibu tunggal berkata rumahnya sudah uzur dan bocor, namun kekangan kewangan menyebabkan beliau tidak mampu melakukan kerja pembaikan.

Beliau yang tidak bekerja hanya bergantung kepada bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima anak OKU berusia 41 tahun untuk menampung kehidupan sekeluarga.

“Mak cik tidak minta benda lain, cuma harap rumah dapat dibaiki sebab mak cik nak jaga anak OKU dan cucu-cucu sahaja,” katanya.

Sementara itu, remaja berusia 15 tahun, Rizwan Hakimi Faizul berkata keutamaan keluarganya ketika banjir melanda Ladang Moccis ialah memastikan keselamatan neneknya, Maria Abu Bakar, 73, yang terlantar akibat strok sejak 2010.

Pelajar GIATMARA di Negeri Sembilan itu berkata beliau sedang tidur kira-kira 8 pagi sebelum dikejutkan oleh ibunya yang memaklumkan air mula naik di kawasan rumah mereka sehingga mencapai paras bahu.

“Kami utamakan keselamatan nenek dahulu kerana dia lumpuh seluruh badan dan tidak boleh bercakap. Selepas itu, barulah kami mengemas barang-barang penting sementara menunggu bantuan.

“Kami tinggikan sedikit katil nenek menggunakan kayu supaya dia tidak terkena air banjir. Kami selesaikan urusan nenek dahulu kerana dia orang tua, kemudian barulah fikirkan hal lain,” katanya.

Rizwan berkata keluarganya mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit untuk mengemas barangan keperluan sebelum menunggu lebih dua jam bagi mendapatkan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang kemudian membawa Maria menggunakan ambulans ke PPS berkenaan.

Beliau mengakui urusan mengendalikan neneknya ketika banjir bukan mudah kerana keluarganya perlu memastikan keselamatan warga emas berkenaan dalam keadaan air yang semakin meningkat.

Rizwan berkata kejadian itu adalah kali kedua keluarganya berdepan banjir selepas turut terjejas pada 24 Nov tahun lepas manakala seramai tujuh ahli keluarganya termasuk Maria kini ditempatkan di PPS berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 424 mangsa daripada 125 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah Hilir Perak ditempatkan di dua PPS setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata daripada jumlah itu, 136 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di Dewan MPTI Langkap manakala 288 mangsa daripada 86 keluarga lagi berada di Dewan Rumah Rehat MPTI.

“PPS Dewan MPTI Langkap dibuka pada 10 pagi 6 Nov lepas manakala PPS Dewan Rumah Rehat MPTI dibuka pada 10 malam hari yang sama.

“Kawasan yang terjejas banjir melibatkan Kampung Batu 9 Changkat Jong, Kampung Batu 11 ½ Jalan Bidor, Kampung Batu 8 Changkat Jong, Kampung Batu 7 ½ Jalan Changkat Jong (FELCRA), Ladang Moccis dan Kampung Batu 10 Changkat Jong,” katanya.

Beliau berkata operasi pengurusan bencana itu turut membabitkan APM, JKM, Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta MPTI.

-- BERNAMA