SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu, khususnya di Selangor.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda turut menzahirkan harapan agar sambutan perayaan terus menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Semangat saling menghormati, kunjung-mengunjung dan berkongsi kegembiraan hendaklah terus disuburkan demi mempererat ikatan persaudaraan sesama rakyat,” menurut hantaran berkenaan.
Sultan Sharafuddin bertitah persefahaman dan toleransi yang teguh seperti yang dipamerkan semasa sambutan pelbagai musim perayaan di dalam negara adalah perisai penting untuk menangkis pengaruh luar, khususnya di media sosial yang cuba menyemai kebencian, mencetuskan perpecahan serta mengganggu-gugat keamanan negara.
“Semoga sambutan Deepavali ini membawa kebahagiaan dan kesejahteraan, serta memperkukuh tekad seluruh rakyat untuk bersama-sama memelihara keharmonian Malaysia,” menurut hantaran itu.
-- BERNAMA