Daripada Siti Nurhana Shafirah Mat Nazir
ISTANBUL, 7 Nov (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuh hubungan akademik menerusi kerjasama dengan dua universiti di negara itu, yang memberi tumpuan kepada program ijazah bersama, penyelidikan doktor falsafah (PhD) dan kajian reka bentuk kapal.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemeteraian Surat Kerjasama (LOCs) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di bawah MARA, dengan Universiti Sabanci dan Universiti Teknikal Yildiz (YTU) hari ini, merupakan langkah penting ke arah memperkukuhkan kerjasama akademik Malaysia-Turkiye.
“Antara fokus utama kerjasama ini ialah pertukaran penyelidikan serta membuka peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Turkiye, manakala pelajar dari negara itu turut berpeluang belajar di Malaysia.
“Kita mencadangkan pelaksanaan program ijazah berkembar yang membolehkan pelajar UniKL dan UPTM mengikuti pengajian di universiti di Turkiye, sekali gus memperoleh dua ijazah,” katanya kepada media Malaysia pada sidang media selepas pemeteraian LOCs itu, di sini hari ini.
Pertukaran dokumen pemeteraian kerjasama itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Asyraf Wajdi dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Shahrizal Mohd Saderi.
UniKL diwakili Naib Canselornya Prof Dr Kushsairy Abdul Kadir, manakala Universiti Sabanci diwakili Naib Presiden (Akademik) Prof Dr Cem Guneri serta Pengurus Pertukaran dan Kerjasama Antarabangsa Evrim Gungo, sementara YTU diwakili Naib Rektor (Penyelidikan dan Perancangan) Prof Dr Guleda Engin.
Asyraf Wajdi berkata kerjasama itu, merupakan antara inisiatif utama yang digerakkan Timbalan Perdana Menteri susulan lawatan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YOK) Prof Dr Erol Ozvar ke Malaysia, pada April lepas.
“Apa yang paling penting, bidang pengajian yang akan diterokai merupakan bidang strategik yang mempunyai kepentingan kepada negara, khususnya yang selari dengan kepakaran UniKL dan UPTM termasuk maritim, aeroangkasa, satelit dan industri pertahanan,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu juga akan membuka laluan lebih luas kepada pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk membina kerjaya serta melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk di luar negara khususnya Turkiye.
Menerusi kerjasama dengan Universiti Sabanci, kedua-dua institusi akan meneroka pelaksanaan program ijazah sarjana muda dan sarjana secara bersama termasuk penyelarasan kurikulum serta kaedah penyampaian akademik, selain penerokaan laluan pendidikan doktor falsafah melalui penyeliaan bersama dan penyelidikan kolaboratif.
Kerjasama dengan YTU pula akan memberi tumpuan kepada penyelidikan bersama dalam reka bentuk kapal dan pengujian model dengan memanfaatkan kemudahan yang saling melengkapi di kedua-dua universiti.
Kemudahan tangki ombak di YTU akan digunakan bagi menyokong kajian perairan cetek, manakala Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) akan menyumbangkan kemudahannya bagi kajian perairan dalam.
-- BERNAMA