KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama di seluruh negara dilaporkan kembali lancar malam ini selepas mengalami kesesakan pada sebelah pagi dan petang tadi yang menyaksikan pertambahan jumlah kenderaan berikutan orang ramai memulakan perjalanan pulang ke kampung sempena Deepavali esok.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan trend aliran kenderaan menunjukkan penurunan dan keadaan mula reda sejak 8 malam tadi, namun masih terdapat kesesakan dikesan di beberapa lokasi tertentu.
Beliau berkata bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, aliran trafik direkodkan perlahan dari Juru menghala ke Permatang Pauh manakala bagi arah selatan melibatkan laluan dari Senawang ke Pedas Linggi.
“Keadaan di laluan menghala ke Pantai Timur, terutama dari Gombak ke Lentang yang sesak teruk sejak pagi tadi kembali normal dan pemantauan mendapati tiada lagi lambakan kenderaan baharu dari laluan utama seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Pada siang tadi, kesesakan dikesan berlaku hampir di keseluruhan laluan lebuh raya, antaranya laluan PLUS dari Gopeng ke Simpang Pulai dan Bandar Baharu ke Jawi (utara) serta dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Kajang dan Nilai ke Senawang (selatan),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau turut menasihati pengguna yang merancang pergerakan pada lewat malam ini untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan, mempunyai baki kad Touch ’n Go yang mencukupi serta berhenti di kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) sekiranya mengantuk bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian 1800-88-7752 yang beroperasi 24 jam dan platform X @plustrafik serta @llmtrafik.
-- BERNAMA