Am 07/11/2026 10:09 PM

Permintaan Terakhir Anak Untuk Memancing Tinggal Kenangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Permintaan Terakhir Anak Untuk Memancing Tinggal Kenangan
Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching (kanan) menenangkan ibu mangsa, Mardeli Marazul, 44, (tengah) dan anak perempuannya, Nur Salina Zahara Rohaizad, 14, ketika mendengar luahan mereka mengenai pemergian Essikandar Putra Rohaizad, 6, yang maut akibat lemas di sebuah kolam tadahan air berhampiran Taman Sungai Mas, Kulai, pada Rabu, ketika mengunjungi kediaman keluarga itu di sini hari ini.

KULAI, 7 Nov (Bernama) -- Berulang kali meminta dibelikan peralatan memancing menjadi kenangan terakhir Mardeli Marazul bersama anaknya, Essikandar Putra Rohaizad, 6, yang ditemukan lemas di sebuah kolam takungan air terbuka berhampiran Taman Sungai Mas di sini, Khamis lepas.

Mardeli, 44, yang bekerja di sebuah kedai berhampiran Terminal Bas Kulai iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian, berkata anak bongsunya itu memang suka memancing dan kerap merayu agar dibelikan tali pancing tetapi ditolak atas faktor keselamatan.

"Satu minggu sebelum kejadian memang dia nak sangat memancing, minta dibelikan tali tapi saya tidak bagi, saya kata kawasan itu bahaya," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Sungai Mas di sini hari ini.

Mengimbas hari kejadian, Mardeli berkata kebiasaannya Essikandar akan mengikutnya ke tempat kerja atau datang dengan berjalan kaki bersama kakaknya, Nur Salina Zahara Rohaizad, 14.

“Setiap pagi, kalau saya hidupan enjin kereta dia pasti bangun daripada tidur untuk ikut saya ke kedai tetapi pada hari kejadian arwah begitu nyenyak sehingga saya tidak sampai hati untuk mengejutkannya," katanya.

Tanpa pengetahuannya, Mardeli berkata Essikandar kemudian keluar bersendirian dengan memanjat pagar rumah yang berkunci untuk pergi memancing, sebelum dia menerima berita kejadian itu kira-kira 10 pagi daripada rakan peniaga dan bergegas ke lokasi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee mengesahkan kanak-kanak lelaki itu ditemukan tidak sedarkan diri akibat lemas di kolam takungan air berkenaan.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa keluar bersendirian dari kediamannya yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Tan berkata siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa keluar bekerja kira-kira 6.30 pagi, manakala mangsa ketika itu tidur bersama dengan kakaknya selain sebatang joran turut ditemukan berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini menziarahi keluarga mangsa bagi menyatakan sokongan moral dan menyampaikan sumbangan.

Teo berharap Majlis Perbandaran Kulai dapat meneliti aspek keselamatan di kawasan kolam tadahan berkenaan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

-- BERNAMA