KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Menyedari golongan gelandangan bukan sekadar memerlukan makanan, sebaliknya juga perhatian dan sokongan moral, Bethel GSM menerusi program “Feeding For Homeless” mengambil inisiatif mendekati komuniti itu di sekitar Chow Kit di sini dengan menyediakan makanan serta meluangkan masa berinteraksi dengan mereka pada setiap Sabtu.
Setiausaha Bethel GSM Michelle Wong berkata program yang bermula pada 17 Okt lepas itu dilaksanakan dengan kerjasama Hilton Petaling Jaya menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan jumlah penerima manfaat meningkat daripada kira-kira 80 hingga 100 orang pada sesi pertama kepada 150 hingga 200 orang ketika ini.
Wong berkata penerima bantuan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk gelandangan yang tinggal di kaki lima serta individu yang mempunyai tempat tinggal tetapi berdepan kekangan kewangan, khususnya dari kawasan Chow Kit, Medan Tuanku dan Sentul.
“Hasrat kami bukan sekadar memberi mereka makanan tetapi juga peluang untuk berinteraksi. Pada mulanya agak janggal dan sukar untuk berkomunikasi, tetapi lama-kelamaan hubungan itu menjadi lebih rapat sehingga ada yang menganggap sukarelawan seperti rakan, malah seperti keluarga sendiri,” katanya kepada Bernama selepas program itu hari ini.
Wong berkata pihaknya berharap lebih banyak hotel, syarikat dan individu tampil menyokong inisiatif itu, sama ada menerusi sumbangan kewangan mahupun barangan keperluan seperti tuala basah dan pelitup muka bagi memastikan program berkenaan dapat diteruskan setiap Sabtu sepanjang tahun.
Sementara itu, Pengarah Operasi Hilton Petaling Jaya Sinan Ceylani berkata penyertaan dalam program itu merupakan sebahagian daripada CSR hotel tersebut dan komitmen kelestarian di bawah inisiatif “Travel With Purpose”.
Beliau berkata pihak hotel memperuntukkan kira-kira RM2,000 bagi setiap sesi, dengan jumlah makanan yang disediakan berdasarkan anggaran bilangan penerima manfaat yang dimaklumkan oleh pihak penganjur.
“Proses penyediaan makanan biasanya bermula pada tengah hari dan mengambil masa empat hingga lima jam bagi memastikan hidangan disediakan segar, tanpa dimasak terlebih dahulu, dibekukan dan kemudian dinyahbekukan,” katanya.
Sinan berkata kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan antara inisiatif kemasyarakatan yang dilaksanakan hotel tersebut, yang turut menggalakkan penggunaan produk mesra alam serta mengurangkan penggunaan plastik dalam operasinya.
Dalam pada itu, Chef Eksekutif Hilton Petaling Jaya Ridzuan Malek berkata menu yang disediakan mengambil kira cita rasa tempatan dan keperluan pemakanan penerima, dengan setiap hidangan merangkumi nasi, satu sumber protein, sayur-sayuran serta pencuci mulut.
Beliau berkata pihaknya lazimnya menyediakan menu berbeza setiap minggu atau bulan bagi memberikan variasi kepada penerima.
“Walaupun program ini untuk kebajikan, kami tetap mahu memberikan yang terbaik kerana golongan ini juga berhak menikmati makanan berkualiti. Kami mahu mereka merasai hidangan yang disediakan dengan penuh perhatian,” katanya.
-- BERNAMA