GEORGE TOWN, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta dalam Belanjawan 2027 untuk menyokong syarikat pemula teknologi, memacu pendigitalan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) merentasi ekonomi di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu bertujuan memperkasa ekosistem syarikat pemula teknologi di negeri itu dan membantu perniagaan melaksanakan transformasi digital.
“Dalam Belanjawan 2027 (negeri), kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk Digital Penang, ia akan menyokong syarikat pemula teknologi, membantu perusahaan kecil dan sederhana beralih ke arah pendigitalan, serta memanfaatkan AI merentasi ekonomi kita.
“Komuniti syarikat pemula yang disokong oleh inisiatif ini telah berjaya melahirkan 310 syarikat dan mewujudkan kira-kira 1,720 peluang pekerjaan,” katanya ketika merasmikan ‘AI Future Makers Bootcamp 2026’ di Kolej SEGi Pulau Pinang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi penganjur ‘AI Future Makers Bootcamp 2026’ Lukas J.Tan dan Ketua Pengalaman Pelajar Kolej SEGi Pulau Pinang Vincent Tung Chin Aun.
Selain itu, Chow berkata kerjasama antara inovator muda dan pemain industri yang berpengalaman menunjukkan kepentingan pembelajaran merentasi generasi, memandang Pulau Pinang sedang mempersiapkan tenaga kerjanya untuk menghadapi perubahan teknologi.
Beliau berkata, negeri itu telah berjaya menyesuaikan diri dengan transformasi perindustrian sebelum ini, termasuk apabila Zon Perdagangan Bebas pertama negara ditubuhkan di Bayan Lepas pada 1972, dengan pekerja memperoleh kemahiran baharu menerusi perkongsian pengetahuan serta latihan ketika bekerja.
“Pulau Pinang tahu cara untuk melakukannya. Apabila dunia berubah, kami belajar dengan pantas dan kami belajar bersama-sama. Kini, dunia sedang berubah sekali lagi,” katanya sambil menambah bahawa AI kini mampu menyelesaikan kerja dengan pantas, iaitu tugas yang sebelum ini mengambil masa selama seminggu.
Mengenai pembangunan bakat, Chow berkata seramai 675 graduan baharu dan golongan profesional yang sedang bekerja telah menjalani latihan reka bentuk cip menerusi Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang, dan 85 peratus daripadanya berjaya memperoleh pekerjaan.
Beliau juga berkata Kumpulan Fokus Bakat Pulau Pinang yang dilancarkan pada Jun lepas di bawah inisiatif Tempat Kerja Pulau Pinang, turut menghimpunkan pemain industri, universiti dan pengamal sumber manusia untuk menambah baik proses padanan bakat dengan peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, Pelan Induk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Pulau Pinang juga bakal memperkenalkan program pembelajaran AI ke sekolah luar bandar melalui inisiatif bergerak.
Oleh itu, Chow menggesa majikan dan pengamal sumber manusia agar memberi peluang kepada pencari kerja muda melangkaui kelayakan konvensional, termasuk menerusi temu duga, bimbingan dan penglibatan profesional.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan peserta kem latihan itu untuk mengubah idea mereka menjadi penyelesaian yang praktikal dan membangunkan inovasi mereka di Pulau Pinang.
-- BERNAMA