Am 07/11/2026 08:30 PM

Empat Cedera Kemalangan Babit Empat Kereta Di Seberang Jaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Empat Cedera Kemalangan Babit Empat Kereta Di Seberang Jaya
Foto: JBPM

BUKIT MERTAJAM, 7 Nov (Bernama) -- Empat individu cedera dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Kilometer 134.8 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran sebuah pasar raya besar di Seberang Jaya di sini petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata sepasukan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Perai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang.

“Kemalangan melibatkan dua Perodua Myvi, sebuah Toyota Alphard dan sebuah Honda Accord dengan keseluruhan tujuh individu terlibat, empat daripadanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki berusia 29 dan 56 tahun serta dua wanita masing-masing berusia 24 dan 25 tahun.

Beliau berkata anggota bomba turut menjalankan kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada 5.37 petang.

– BERNAMA