Am 07/11/2026 06:39 PM

KPWKM Sasar 42,000 Lelaki Manfaat Perkhidmatan Kesejahteraan Lelaki

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPWKM Sasar 42,000 Lelaki Manfaat Perkhidmatan Kesejahteraan Lelaki
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri melakukan gimik pada Majlis Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC).

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan 42,000 lelaki, mendapatkan manfaat daripada perkhidmatan kesejahteraan lelaki yang disediakan kerajaan, sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif itu, turut menggalakkan kaum lelaki mendapatkan maklumat serta perkhidmatan kesihatan yang bersesuaian bersama-sama pasangan masing-masing, khususnya dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan keluarga.

“Saya menyeru kaum lelaki untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan yang bersesuaian bersama dengan pasangan masing-masing, dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan keluarga,” katanya di Selangor International Trade Centre (SITC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying serta Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor Anfaal Saari.

Nancy berkata kerajaan memperuntukkan RM4.355 bilion kepada KPWKM menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM168 juta berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, hampir RM3.3 bilion disediakan bagi bantuan kebajikan untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial dan kesejahteraan golongan yang memerlukan.

Beliau berkata pasangan yang berdepan cabaran kesuburan turut mendapat manfaat menerusi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), kendalian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dengan sasaran 2,000 pasangan layak menerima bantuan rawatan berkenaan.

Sepanjang 2025, sebanyak 82,679 individu menerima manfaat daripada program itu, manakala 1,658 kitaran rawatan Intrauterine Insemination (IUI) dilaksanakan dengan 184 kes kehamilan direkodkan.

Beliau berkata pencapaian itu, membuktikan kepentingan pengesanan awal masalah kesuburan serta akses kepada rawatan oleh pakar bertauliah.

-- BERNAMA