Am 07/11/2026 09:05 PM

"Bernama Buddies" Eratkan Ukhuwah, Setia Kawan Bekas Petugas Bernama

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang (depan empat, kanan) bersama rakan-rakan bekas kakitangan Bernama pada majlis "'Hi Tea Meet Up for Bernama Buddies' yang menghimpunkan lebih 40 pesara agensi berkenaan.

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Lebih 40 pesara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkumpul pada majlis “Hi Tea Meet Up for Bernama Buddies” di sini hari ini bagi mengeratkan hubungan persaudaraan serta mengekalkan semangat setia kawan yang terjalin ketika berkhidmat di agensi berita itu.

Bekas Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang berkata nilai persaudaraan serta perpaduan dalam kalangan petugas agensi itu satu keistimewaan yang terpelihara sejak dahulu hingga kini.

“Kesetiakawanan dan ukhuwah di Bernama ini cukup mantap. Dari dulu sampai sekarang, kalau sebut Bernama, macam ada satu perpaduan,” katanya yang berkhidmat lebih 40 tahun di Bernama.

Senada dengan beliau, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Roslan Ariffin berkata majlis tersebut adalah bukti jalinan silaturahim petugas tetap utuh meskipun ada di antara mereka sudah lama meninggalkan agensi berita berkenaan.

“Kebanyakan yang hadir hari ini adalah kumpulan yang lahir pada tahun 50-an dan 60-an. Jadi, masing-masing berada di Bernama agak lama…bila sudah bersara tak putus hubungan sebab itu yang diajar oleh Bernama,” katanya.

Sementara itu, penganjur majlis yang juga bekas Editor Kanan Meja Multimedia Bernama Hafizah Kamaruddin berkata majlis itu julung kali diadakan secara lebih terancang selepas pertemuan tidak rasmi kira-kira 10 tahun lepas.

Beliau berkata keistimewaan majlis itu terletak pada penyatuan semua pesara tanpa membezakan latar belakang pangkat atau jawatan yang pernah disandang ketika berkhidmat dahulu.  

Hafizah yang berkhidmat lebih 30 tahun di Bernama berharap program itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi mengukuhkan lagi ikatan persahabatan antara bekas warga kerja agensi berita berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas wartawan Bernama dan bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid, bekas Ahli Dewan Negara Datuk Seri Boon Som Inong dan bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong.

-- BERNAMA