KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Malaysia memanfaatkan kekayaan tradisi makanan dan warisan budayanya sebagai instrumen diplomasi budaya bagi meningkatkan persefahaman antarabangsa serta memperkukuh hubungan diplomatik menerusi program yang menghimpunkan kira-kira 90 anggota kor diplomatik, pegawai kerajaan dan tetamu antarabangsa di Afrika Selatan.
Inisiatif itu diketengahkan menerusi program bertemakan “Flavours of Malaysia: Food, Culture and Unity” yang dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria dengan kerjasama Persatuan Pasangan Diplomat Antarabangsa (IDSA) di Rumah Malaysia pada Jumaat, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria dalam satu kenyataan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof berkata program itu menyerlahkan nilai perpaduan dan kebersamaan yang dikongsi Malaysia dan Afrika Selatan, khususnya menerusi konsep Muhibah di Malaysia dan falsafah Ubuntu di Afrika Selatan.
“Makanan membawa kita duduk semeja, budaya merapatkan hubungan dan persahabatan menyatukan kita. Semoga semangat Ubuntu dan Muhibah terus memperkukuh ikatan persahabatan antara Malaysia, Afrika Selatan dan komuniti diplomatik yang lebih luas,” katanya dalam ucapan alu-aluan.
Program itu menampilkan hidangan sarapan ikonik Malaysia termasuk nasi lemak, roti canai dan teh tarik, selain demonstrasi masakan secara langsung bagi penyediaan roti jala, cucur udang dan ais batu campur (ABC), sekali gus memberi peluang kepada tetamu mengenali kepelbagaian tradisi makanan negara.
Program itu turut mengetengahkan budaya sarapan Malaysia yang diiktiraf dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2024, sebagai contoh bagaimana tradisi makanan mencerminkan identiti masyarakat berbilang budaya di negara ini.
Selain sajian makanan, tetamu turut disajikan dengan demonstrasi silat, seni mempertahankan diri tradisional Malaysia yang diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara pada 2019, sekali gus menyerlahkan nilai disiplin, hormat-menghormati, keberanian, kawalan diri dan ketabahan.
Presiden IDSA Karem Ruis Livieres merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas layanan mesra serta persiapan program itu yang turut menyediakan platform untuk interaksi dan pertukaran budaya dalam kalangan anggota komuniti diplomatik.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah bagi Asia dan Asia Barat di Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama (DIRCO) Afrika Selatan, Duta Besar David Malcomsom, selain duta besar, pesuruhjaya tinggi dan wakil diplomatik kanan.
-- BERNAMA