Am 07/11/2026 06:53 PM

Pengampunan Bersyarat Najib: Peguam Negara Mohon Perkenan Menghadap Agong

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengampunan Bersyarat Najib: Peguam Negara Mohon Perkenan Menghadap Agong

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memohon ampun, dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Peguam Negara juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta, dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberikan kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Mohd Dusuki untuk segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memperjelas isu pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat Najib.

Anwar menegaskan langkah itu perlu bagi menjelaskan kekangan undang-undang terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap satu lagi kes membabitkan Najib, iaitu 1MDB.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Yang di-Pertuan Agong bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Sultan Ibrahim turut bertitah perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.

"Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong," titah Seri Paduka Baginda.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara sehingga selesai penelitian, dan penjelasan lanjut mengenai interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat, serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.

AGC memaklumkan sepanjang tempoh penangguhan, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.

 Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi, semalam.

-- BERNAMA