Am 07/11/2026 06:34 PM

Banjir: Situasi Memburuk, Lebih 4,000 Mangsa Ditempatkan Di PPS Petang Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir: Situasi Memburuk, Lebih 4,000 Mangsa Ditempatkan Di PPS Petang Ini

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Selangor dan Perak terus memburuk apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 4,504 orang petang ini berbanding 1,404 orang pagi tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan dengan 4,234 mangsa daripada 251 keluarga ditempatkan di tujuh PPS berbanding 1,206 mangsa daripada 316 keluarga di sembilan PPS, pagi tadi.

 Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS masih beroperasi di Kuala Selangor iaitu Sekolah Agama Batu Lapan Ijok yang menempatkan 2,999 mangsa daripada 67 keluarga, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang (799 mangsa, 61 keluarga), SK Dato' Maharaja Lela (192 mangsa, 61 keluarga) dan SK Jaya Setia (71 mangsa, 21 keluarga).

Dua PPS di Shah Alam iaitu di Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Seksyen U5 menempatkan 59 mangsa daripada 15 keluarga, manakala PPS Kampung Melayu Subang (47 mangsa, 11 keluarga).

Di Klang, 67 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masjid Al-Taqwa, Bukit Kapar.

Dua PPS yang ditutup ialah SK Desa Aman di Kuala Selangor dan SK Merbau Sempak, Shah Alam.

Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir dan ribut meningkat kepada 270 orang daripada 79 keluarga petang ini berbanding 198 orang daripada 58 keluarga pagi tadi melibatkan daerah Hilir Perak dan Manjung.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap kekal 137 orang daripada 40 keluarga, manakala jumlah mangsa di PPS Dewan Rumah Rehat MPTI meningkat kepada 107 orang daripada 32 keluarga. 

Sementara itu, 26 mangsa daripada tujuh keluarga yang terjejas akibat bencana ribut masih ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Manjung. 

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di kesemua daerah pada malam ini.

-- BERNAMA