KULIM, 7 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperkukuh kerjasama serta perkongsian maklumat bagi menangani pelbagai isu keselamatan serta mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketiga-tiga kementerian berkenaan tidak boleh bekerja secara berasingan dalam menangani pelbagai isu yang timbul di sekolah.
Beliau berkata keperluan itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan Polis dan Kementerian Pendidikan yang diadakan di Pusat Latihan Polis minggu lepas.
“Antara perkara yang saya bangkitkan ialah soal profil pelajar. Misalnya, terdapat pelajar yang memerlukan rawatan dan konsultasi dengan pakar psikiatri, sedangkan pihak sekolah tidak mempunyai maklumat berkenaan yang ada pada KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Semarak Kebudayaan Masyarakat Kedah Bersama Polis Diraja Malaysia 2026 di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan polis menahan dua remaja dipercayai bertindak sebagai pembekal dalam kes seorang pelajar sekolah di Negeri Sembilan yang menghisap rokok elektronik atau vape mengandungi dadah.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata suspek yang ditahan ialah seorang pelajar berusia 17 tahun yang juga rakan sekolah mangsa serta seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang tidak bersekolah.
Saifuddin Nasution berkata kerjasama antara tiga kementerian itu penting memandangkan ekosistem keselamatan sekolah melibatkan kira-kira 5.2 juta pelajar di 12,000 sekolah seluruh negara, sekali gus memerlukan perkongsian maklumat dan tindakan bersepadu antara agensi berkaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata isu penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar turut menjadi perhatian kerana kandungan cecair peranti itu yang mengandungi pelbagai bahan boleh menimbulkan kesukaran kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.
Menurut Saifuddin Nasution, terdapat bahan yang berpotensi mengandungi komponen racun tetapi belum disenaraikan sebagai racun, sekali gus menimbulkan cabaran kepada polis untuk melengkapkan siasatan dan membawa kes ke peringkat pendakwaan.
“Kerjasama antara polis dan pihak sekolah sebelum ini merangkumi penempatan pegawai perhubungan polis serta penglibatan Agensi Antidadah Kebangsaan, namun usaha itu perlu diperluas dengan penglibatan KKM.
“Isunya bukan sahaja pengambilan vape dalam kalangan pelajar tetapi juga pelbagai aktiviti lain, termasuk buli dan insiden kemalangan di sekolah,” katanya.
-- BERNAMA