Daripada Siti Nurhana Shafirah Mat Nazir
ISTANBUL, 7 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan isu konflik berterusan di Gaza serta kepentingan memperkukuh hubungan strategik Malaysia-Turkiye dalam pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di sini semalam.
Beliau berkata pertemuan selama 30 minit itu turut memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan dan geopolitik di Syria serta Lubnan yang terus memerlukan perhatian serius masyarakat antarabangsa.
Ahmad Zahid berkata beliau menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap konflik berterusan di Gaza, khususnya kesannya terhadap kestabilan serantau, keselamatan orang awam serta keadaan kemanusiaan di kawasan terjejas.
“Malaysia jelas dalam pendirian bahawa usaha mencapai keamanan berkekalan mesti berlandaskan penghormatan terhadap kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal melindungi orang awam atau memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa memainkan peranan lebih berkesan dalam meredakan ketegangan, menamatkan penderitaan penduduk yang terjejas akibat konflik serta mengutamakan penyelesaian secara aman menerusi dialog dan diplomasi.
Ahmad Zahid berkata beliau menghargai komitmen serta peranan Turkiye dalam memperjuangkan agenda keselamatan dan keadilan di peringkat antarabangsa.
Beliau yakin Malaysia-Turkiye mempunyai ruang yang luas untuk memperkukuh persefahaman diplomatik dalam menangani isu serantau dan antarabangsa yang memberi kesan terhadap keamanan serta kestabilan global.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperluas hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala, khususnya meningkatkan nilai perdagangan Malaysia-Turkiye daripada USD5.6 bilion pada 2025 kepada USD10 bilion menjelang 2030.
“Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi yang mengadakan mesyuarat sulungnya di Ankara pada Januari lepas merupakan mekanisme penting bagi menyelaras keutamaan serta mempercepat pelaksanaan kerjasama strategik kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata mekanisme itu juga selaras dengan status Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Turkiye yang menyediakan asas lebih kukuh untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Antara bidang berpotensi untuk diteroka termasuk pelaburan, industri pertahanan, pemindahan teknologi, Pendidilan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal serta pengurusan bencana.
Ahmad Zahid berkata hubungan strategik kedua-dua negara perlu diterjemahkan kepada inisiatif konkrit yang mampu membuka peluang pelaburan, memperkukuh keupayaan industri, memperluas pemindahan kepakaran dan meningkatkan daya saing ekonomi kedua-dua negara.
Mengenai hubungan ASEAN-Turkiye, beliau menegaskan komitmen Malaysia selaku negara penyelaras untuk terus memperkukuh hubungan kedua-dua pihak dengan memberi tumpuan kepada peluasan perdagangan, kerjasama teknologi dan pembangunan modal insan.
Timbalan Perdana Menteri berada di Turkiye bagi rangka lawatan kerja empat hari bermula 5 hingga 8 Nov sempena penyertaan beliau dalam Forum Dunia TRT 2026.
Forum yang berlangsung selama dua hari bermula semalam mengangkat tema "A World Without a Center: Who Leads When the Rules Run Out?", dengan menghimpunkan barisan pemimpin politik, penggubal dasar, ahli akademik, pengamal media serta wakil masyarakat sivil dari seluruh dunia.
-- BERNAMA