JASIN 2 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menyediakan 24 buah tandas lebih selesa kepada penghuni 24 buah rumah di empat perkampungan Orang Asli di sini, sekiranya parti itu diberi mandat sekali lagi mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon BN bagi DUN Asahan Datuk Dr Fairul Nizam Roslan berkata rumah-rumah terlibat terletak di Kampung Orang Asli (OA) Sialang, Batang Melaka; Kampung OA Gapam Batu, Bukit Senggeh; Kampung OA Bukit Seraya, Bukit Senggeh; dan Kampung OA Solok Terentang, Jus.
Beliau yang juga penyandang kerusi Asahan berkata penyediaan tandas itu, akan diberi keutamaan untuk dilaksanakan memandangkan tangki kumbahan tandas sedia ada, telah penuh.
“Kita ada isu yang baharu dibangkitkan bahawa 24 buah rumah Orang Asli di sini mempunyai masalah tandas, yang mana tandas mereka itu telah lama dibina dan (tangki kumbahan) sudah penuh.
“Jadi saya rasa ini perkara amat penting untuk kesihatan mereka. Jika saya diberi mandat lagi, berikan masa tempoh setahun untuk 24 buah tandas rumah ini saya selesaikan, insya-Allah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa kempen di Taman Batang Melaka di di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata sepanjang penggal perkhidmatannya, sebanyak 18 rumah masyarakat Orang Asli di Melaka berjaya dibaik pulih.
Beliau yang lebih mesra disapa “YB Along” berkata langkah baik pulih rumah Orang Asli berkenaan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan komuniti berkenaan tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Dr Fairul juga berkata inisiatif kerajaan menyediakan perkhidmatan WiFi percuma di 14 kampung Orang Asli di seluruh Melaka, melalui program Melaka Digital pula bukti komitmen merapatkan jurang digital masyarakat itu dengan komuniti lain.
Terdapat empat kampung Orang Asli di DUN Asahan yang merangkumi 174 ketua keluarga.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/
-- BERNAMA