LAHAD DATU, 2 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas dua bot pam membawa 1,750 liter petrol bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran semalam.
Pengarah APMM Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata bot itu masing-masing dikesan menerusi Ops Sejahtera dan Ops Tiris 4.0 di perairan berhampiran Kampung Sinakut Tengah di sini antara 6 pagi hingga 6.20 pagi.
Beliau berkata sekumpulan individu yang dipercayai mengendalikan bot berkenaan melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota APMM.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu masing-masing membawa 38 dan 32 tong gelen petrol dengan nilai rampasan dianggarkan RM18,000. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dzulfikhar berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan sebarang aktiviti mencurigakan diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di nombor 016-930 5727 atau menghubungi talian kecemasan MERS 999.
Beliau berkata APMM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras aktiviti penyeludupan untuk memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA