KANGAR, 2 Nov (Bernama) -- Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) memperkukuh komitmen memperkasa hak golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi pemeteraian Deklarasi Perlis 26 yang memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan, penyertaan ekonomi serta aksesibiliti dalam persekitaran perbandaran.
Yang Dipertua MPPs Affendi Rajini Kanth berkata deklarasi itu menggariskan lima prinsip utama, iaitu maruah, autonomi, kesaksamaan, aksesibiliti dan penyesuaian munasabah sebagai asas memastikan golongan OKU mendapat layanan serta peluang yang adil.
“Atas sokongan dan persetujuan kerajaan negeri, hari ini kami menandatangani Deklarasi Perlis 26 yang menggariskan lima prinsip asas bagi menjaga hak serta kepentingan golongan OKU,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani deklarasi itu di sini hari ini.
Deklarasi ditandatangani Affendi mewakili MPPs manakala Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Bathmavathi Krishnan bagi pihak SUHAKAM, dengan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Modal Insan negeri Izizam Ibrahim.
Affendi berkata antara inisiatif yang akan dilaksanakan ialah menyemak semula caj dikenakan kepada golongan OKU, termasuk fi lesen perniagaan, selain mempertimbangkan pemberian diskaun atau pengecualian bayaran kepada pemohon yang layak, tertakluk kepada peraturan dan kelulusan berkaitan.
Dalam aspek pekerjaan, beliau berkata MPPs turut menyediakan kuota pengambilan atlet para yang berkelayakan bagi membuka peluang kepada golongan berkenaan menyertai sektor pekerjaan selepas mencapai kejayaan dalam bidang sukan.
“Langkah itu penting memandangkan terdapat atlet para yang berjaya meraih pingat di peringkat antarabangsa, namun masih berdepan cabaran mendapatkan peluang pekerjaan. Kami telah menyediakan kuota kepada Majlis Sukan Negeri untuk mengemukakan atlet para yang berkelayakan bagi diambil bekerja dengan MPPs,” katanya.
Selain itu, Affendi berkata MPPs akan bekerjasama dengan SUHAKAM melaksanakan program pendidikan dan kesedaran awam berkaitan hak OKU serta warga emas pada tahun ini bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap hak dan keperluan golongan berkenaan.
Beliau berkata usaha itu turut merangkumi inisiatif memudahkan peralihan golongan OKU ke alam pekerjaan bagi memastikan mereka mendapat peluang menyertai aktiviti ekonomi dan sosial secara lebih inklusif.
-- BERNAMA