Ekonomi 02/11/2026 08:02 PM

Unit TNB Kemuka Kemudahan Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN RM2 Bilion Kepada SC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Unit TNB Kemuka Kemudahan Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN RM2 Bilion Kepada SC

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- TI TNB Genco Solar Kenyir 1 Sdn Bhd (TI TNB GENCO) mengemukakan kemudahan Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN bernilai sehingga RM2 bilion dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 30 Okt, 2026.

TI TNB GENCO merupakan anak syarikat TNB Power Generation Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), dengan pegangan sebanyak 70 peratus. Baki 30 peratus kepentingan dalam syarikat itu dimiliki Terengganu Incorporated Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata TI TNB GENCO ialah sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan untuk mereka bentuk, membina, membiayai, mengendalikan dan menyelenggara kemudahan solar terapung hibrid hidro berkapasiti arus ulang-alik 595 megawatt (MW).

Kemudahan di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) itu dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 297MW/1,190 megawatt-jam, yang terletak di Tasik Kenyir, Terengganu.

Menurut TNB, hasil terbitan Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada semua fi, kos dan perbelanjaan (termasuk bayaran lain serta peruntukan luar jangka) berkaitan projek berkenaan.

Ini termasuk semua kos projek yang ditanggung bagi peringkat awal pembangunan, pembangunan, reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian, pentauliahan, takaful serta semua kos dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan projek itu.

TNB berkata hasil terbitan sukuk itu turut digunakan untuk membayar balik kos pembangunan projek, membiayai akaun yang ditetapkan dan perbelanjaan sebelum operasi, memenuhi keperluan modal kerja serta menampung perbelanjaan berkaitan kemudahan sukuk berkenaan.

Kemudahan Sukuk Wakalah itu mempunyai tempoh matang antara satu hingga 23 tahun, dengan penerbitannya dijangka dilaksanakan dalam tempoh 90 hari bekerja daripada tarikh ia kemukakan dengan SC.

RHB Investment Bank (RHB IB) bertindak sebagai penasihat utama dan pengatur utama, manakala RHB IB dan CIMB Investment Bank Bhd merupakan pengurus utama bersama bagi Kemudahan Sukuk Wakalah SRI Kemampanan ASEAN itu.

Sementara itu, RHB Islamic Bank Bhd pula sebagai penasihat Syariah bagi kemudahan sukuk berkenaan.

-- BERNAMA