KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Festival K-Culture 2026 membuka tirainya dengan kelas kecantikan Korea (K-beauty) di Pusat Kebudayaan Korea yang baru dibuka pada Isnin, menawarkan bimbingan secara praktikal kepada peserta mengenai trend dan teknik solekan yang disesuaikan dengan ciri wajah masing-masing.
Dalam kenyataan, pusat berkenaan memaklumkan bahawa sesi Kelas Solekan K-Beauty dijadualkan berlangsung pada 3 petang, Isnin dan Selasa (2 dan 3 Nov) di premisnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Dikendalikan oleh Jeonggi Lim dan Minsu Shin daripada Pasukan Profesional Solekan HERA, Amorepacific, kelas itu merangkumi pemilihan warna yang bersesuaian dengan individu, trend terkini K-beauty dan rutin solekan, selain demonstrasi oleh tenaga profesional serta latihan amali.
Dianjurkan dengan kerjasama Amorepacific Malaysia, sesi berkenaan menggunakan produk kecantikan Korea yang terdapat di pasaran tempatan, sekali gus membolehkan peserta mengenali produk yang boleh digunakan dalam rutin kecantikan harian mereka.
Pengarah Pusat Kebudayaan Korea di Malaysia Lee So-jin berkata K-beauty menawarkan pendekatan yang mudah untuk masyarakat mengenali gaya hidup dan trend kecantikan Korea.
"Menerusi Festival K-Culture, kami berharap dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat di Malaysia untuk merasai pengalaman budaya Korea dan menemukan ruang baharu bagi mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas mengenai minat masyarakat tempatan terhadap produk kecantikan Korea, pusat berkenaan merujuk Tinjauan Hallyu Luar Negara 2025 oleh Yayasan Korea bagi Pertukaran Kebudayaan Antarabangsa (KOFICE) yang mendapati 77.6 peratus responden di Malaysia pernah membeli produk berkenaan.
"Angka itu menunjukkan sambutan meluas terhadap produk kecantikan Korea dalam kalangan pengguna tempatan," menurut kenyataan itu.
Festival berkenaan dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Korea di Malaysia dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Republik Korea serta KOFICE.
-- BERNAMA