Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin apabila prospek data ekonomi Amerika Syarikat yang positif memberikan sokongan kepada mata wang Amerika Syarikat (AS) itu.
Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.0695/0735 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0555/0600 pada Jumaat minggu lepas.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data jumlah pekerja bergaji bukan pertanian (NFP) Amerika Syarikat bagi Oktober, yang dijadual dikeluarkan pada 6 November, dijangka mencecah 65,000 berbanding 29,000 pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran pula dijangka kekal pada paras 4.2 peratus.
“Data (ekonomi) yang positif mungkin bermakna Rizab Persekutuan (Fed) boleh meneruskan usaha mengetatkan dasar monetari semasa mesyuarat pada Disember dengan kebarangkalian kenaikan Kadar Dana Persekutuan berada pada paras 71.1 peratus, berbanding 78.9 peratus sebulan yang lepas.
“Bagaimanapun, kebarangkalian yang lebih tinggi bermakna peluang yang lebih besar untuk mengetatkan dasar monetari, yang mungkin memberi kesan positif kepada dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga berkata kebanyakan mata wang serantau lain mencatatkan penurunan berbanding dolar AS, memandangkan para pedagang dan pelabur bimbang akan kemungkinan serangan baharu ke atas Iran selepas pilihan raya separuh penggal AS esok.
“Dagangan dolar AS berbanding ringgit meningkat secara beransur-ansur daripada RM4.057 pada awal sesi dagangan pagi kepada RM4.072 semasa sesi petang, manakala baht Thailand, rupiah Indonesia dan yen Jepun masing-masing susut sebanyak 0.24 peratus, 0.13 peratus dan 0.06 peratus,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4621/4675 daripada 5.4461/4522 pada Jumaat minggu lepas, turun berbanding euro kepada 4.5652/5697 daripada 4.5413/5464, namun meningkat sedikit berbanding yen kepada 2.5766/5793 daripada 2.5782/5812.
Ringgit juga ditutup rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1825/1862 daripada paras 3.1753/1791 pada Jumaat minggu lepas, turun berbanding baht kepada 12.0496/0661 daripada 12.0373/0561, berkurangan berbanding rupiah kepada 224.1/224.4 daripada 223.4/223.8, serta merosot berbanding peso Filipina kepada 6.39/6.41 daripada 6.36/6.37.
-- BERNAMA