KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Federal International Holdings Bhd (FIHB), Federal Builders Industries Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM46.96 juta daripada Perumahan Masteron Sdn Bhd.
Kontrak tersebut merangkumi kerja-kerja struktur bagi cadangan pembangunan di PJ Selatan Sentral, Selangor.
Skop kerja melibatkan kerja-kerja struktur untuk aras bawah tanah, podium, kemudahan dan tingkat pemindahan bagi cadangan pembangunan tersebut.
FIHB dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa kontrak itu akan bermula pada 16 November, 2026 dan dijangka siap pada 15 Disember, 2027.
“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan perolehan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 20 Jun, 2027 dan seterusnya sepanjang tempoh kontrak berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu turut mendedahkan bahawa urus niaga tersebut diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) bersifat hasil atau perdagangan, memandangkan beberapa pengarah dan pemegang saham utama FIHB mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung dalam Perumahan Masteron.
-- BERNAMA