Am 01/11/2026 01:21 PM

Malaysia Berdepan Ancaman Banjir, Kemarau Akibat MTL Dan Super El Nino

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Berdepan Ancaman Banjir, Kemarau Akibat MTL Dan Super El Nino

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Malaysia dijangka berdepan dua cabaran cuaca dalam beberapa bulan akan datang, bermula dengan ancaman banjir akibat hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), sebelum kemungkinan cuaca panas dan kering susulan fenomena Super El Nino yang berpotensi mencetuskan kemarau, menjejaskan bekalan air serta mengancam sektor pertanian negara.

MTL yang bermula pada 27 Okt lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2027 diramalkan membawa antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, khususnya dari November hingga Januari, sekali gus meningkatkan risiko banjir, terutama di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Kesan awal musim tengkujuh mula dirasai apabila hujan lebat yang melanda ibu negara hampir setiap petang sepanjang minggu lepas menyebabkan beberapa kejadian banjir kilat, sekali gus mengganggu kelancaran lalu lintas dan aktiviti harian penduduk.

Kejadian banjir turut dilaporkan di beberapa negeri termasuk Perak, Kedah dan Negeri Sembilan, memperlihatkan risiko bencana yang perlu diberikan perhatian serius sepanjang musim tengkujuh kali ini.

Bagaimanapun, kedua-dua fenomena cuaca itu tidak semestinya berlaku secara berturutan atau memberikan kesan yang sama di seluruh negara kerana taburan hujan dan peningkatan suhu dipengaruhi oleh faktor geografi serta perubahan musim.

Pakar klimatologi, Profesor Emeritus Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata MTL di Semenanjung Malaysia lazimnya mempunyai dua fasa utama, dengan hujan lebat pada fasa pertama tertumpu di pantai timur, khususnya Kelantan dan Terengganu, serta kawasan utara seperti Kedah antara November hingga Disember.

Beliau berkata tumpuan hujan lebat kemudian beralih ke selatan Semenanjung, terutama Johor, serta Sarawak antara Januari hingga Februari.

Menurutnya, pergerakan lurah monsun dan luruan monsun yang membawa angin kencang merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada hujan berterusan, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, Azizan berkata pengaruh El Nino yang kuat berpotensi mengurangkan intensiti dan tempoh hujan sepanjang MTL, khususnya pada November dan Disember, sekali gus memungkinkan risiko banjir besar seperti yang berlaku pada 2021 menjadi lebih rendah.

Beliau turut menjangkakan bilangan luruan monsun berkurangan daripada kebiasaan tujuh hingga lapan episod kepada sekitar lima hingga enam episod.

Keadaan itu juga berpotensi mengurangkan risiko ombak besar, hakisan pantai dan kenaikan paras air laut akibat lonjakan ribut (storm surge) di kawasan pesisir pantai yang menghadap Laut China Selatan.

Namun, pakar klimatologi dan perubahan iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Fredolin Tangang, mengingatkan bahawa pengurangan purata hujan akibat El Nino tidak bermakna negara akan terhindar daripada banjir kerana kejadian cuaca ekstrem masih berpotensi berlaku.

“Walaupun secara puratanya MTL menjadi lemah semasa El Nino kuat, ini tidak bermakna kita tidak berdepan dengan fenomena banjir. Ia masih perlu dipantau, kita masih perlu bersedia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kemungkinan fenomena Super El Nino membawa cuaca lebih panas dan kering pada tahun depan, khususnya antara penghujung Januari hingga Mac, dengan suhu maksimum berpotensi melebihi 41 darjah Celsius.

Fredolin berkata risiko cuaca panas dan gelombang haba di Semenanjung Malaysia dijangka lebih ketara sekitar Mac hingga April, manakala keadaan lebih kering di utara Borneo, khususnya utara Sarawak dan Sabah, berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan serta tanah gambut sehingga April atau Mei 2027.

Beliau berkata hujan yang dibawa MTL ke selatan Sumatera dan Kalimantan dijangka membantu mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut yang menjadi antara punca jerebu rentas sempadan, sebelum keadaan lebih kering berpotensi melanda utara Borneo.

Azizan pula berkata cuaca panas dan kering berpanjangan turut meningkatkan risiko jerebu tempatan akibat pembakaran terbuka, termasuk pembakaran jerami padi di Kedah, walaupun kesannya dijangka lebih terhad berbanding jerebu rentas sempadan.

Selain meningkatkan risiko jerebu, pengurangan taburan hujan juga berpotensi menjejaskan sumber air negara, khususnya simpanan air di empangan yang menjadi sumber bekalan bagi kegunaan domestik dan pertanian.

Azizan berkata Empangan Timah Tasoh di Perlis serta Empangan Muda dan Pedu di Kedah berisiko mengalami penyusutan paras air sekiranya keadaan cuaca kering berlarutan.

Beliau berkata kawasan utara Semenanjung lazimnya bergantung pada hujan ketika peralihan monsun sekitar April hingga Mei bagi menambah simpanan air di empangan berkenaan.

Kemarau yang berpanjangan juga berpotensi memberikan tekanan kepada sektor pertanian, khususnya penanaman padi luar musim di kawasan jelapang utara Semenanjung yang memerlukan bekalan air mencukupi bagi memastikan kelangsungan pengeluaran.

Fredolin berkata kekurangan sumber air dan kemerosotan hasil pertanian boleh menjejaskan keterjaminan makanan negara, selain berpotensi mendorong kenaikan harga bahan makanan.

Pada masa sama, cuaca panas melampau turut meningkatkan risiko strok haba dan masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan pendedahan kepada suhu tinggi.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memanfaatkan kemajuan sains iklim dalam perancangan dan pengurusan bencana, memandangkan fenomena El Nino boleh diramal beberapa bulan lebih awal, sekali gus memberikan ruang kepada pihak berkaitan melaksanakan langkah persediaan yang lebih berkesan.

Justeru, selain memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir sepanjang MTL, Malaysia perlu memanfaatkan tempoh hujan untuk meningkatkan simpanan air dan memperkukuh daya tahan sektor pertanian sebagai persediaan menghadapi kemungkinan cuaca lebih panas dan kering akibat El Nino.

-- BERNAMA

 

Ikuti bahagian kedua laporan khas Bernama yang meneliti potensi memanfaatkan limpahan air sepanjang MTL bagi memperkukuh simpanan air negara sebagai persediaan menghadapi kemungkinan kemarau, selain langkah meningkatkan daya tahan sektor pertanian.