KAJANG, 1 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyaluran peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), untuk diselaraskan bagi membantu persatuan, penjaja dan peniaga kecil meningkatkan pendapatan.
Beliau berkata jumlah peruntukan itu mengambil kira ratusan ribu penjaja, peniaga kecil dan persatuan yang terdapat di seluruh negara.
“Mulanya saya ingat hendak umum RM100,000 sahaja, itu sudah banyak tetapi saya fikirkan ada berapa ratus ribu penjaja, berapa syarikat ada, berapa gerai ada, berapa persatuan seluruh negara, jadi atur kita baik-baik.
“(Kerajaan) bantu supaya tiap tahun kita ada peningkatan pendapatan penjaja dan peniaga,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Hadir sama, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Datuk Zainal Abidin Abd Majid.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan yang disalurkan kepada persatuan, penjaja dan peniaga kecil boleh membantu meningkatkan lagi ekonomi keluarga.
“Kalau tanya saya, Anwar puas hati ke untuk nasib penjaja? Saya tidak puas hati sebab ini rakyat yang terbanyak dan kehidupan dia susah. Kais pagi makan pagi.
“Kalau mahu suruh dia tunggu pergi pejabat, isi borang pinjaman satu hari, itu beban kepada dia. Jadi kita kena cari jalan tingkatkan pendapatan dia,” kata beliau.
Perdana Menteri turut meminta Steven Sim bekerjasama dengan persatuan berkaitan, bagi mendapatkan data mengenai peningkatan serta purata pendapatan penjaja dan peniaga sepanjang tiga tahun lepas hingga tahun ini.
“Ini cara kita buat penilaian. Apakah kelemahan dan kekurangannya kerana bagi saya, kalau kita dapat bantu penjaja dan peniaga kecil, ia akan membantu satu juta keluarga dalam negara kita,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar turut menggesa para penjaja supaya memastikan kebersihan gerai masing-masing sentiasa terpelihara serta mencantikkannya, memandangkan kira-kira 85 peratus majoriti rakyat memilih untuk menikmati makanan di gerai dan warung.
“Sebab itu saya sejak menjadi Perdana Menteri (dalam) empat tahun ini, setiap minggu sebelum atau selepas solat Jumaat, saya pergi makan tengah hari di warung dan gerai, (kerana) hendak tunjuk bahawa bagus kita sokong gerai dan peniaga-peniaga ini.
“Kadang-kadang (makanannya) lebih sedap daripada restoran-restoran besar, tetapi yang biasanya bukan sedap (semata-mata) tetapi memang jauh lebih murah.
“Kalau saya hendak gerai itu mesti bersih, bumbung lebih teratur, maka saya percaya rakyat pun begitu,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA