Am 01/11/2026 03:14 PM

Kerajaan Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut - TPM Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut - TPM Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali Bagan Datuk 2026 di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

BAGAN DATUK, 1 Nov (Bernama) -- Kerajaan bersama dengan semua agensi berkaitan telah bersiap siaga sepenuhnya, bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa impak atau kesan lebih berat, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tahap kesiapsiagaan itu melibatkan penyelarasan menyeluruh antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada peringkat negeri dan daerah, susulan pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 di Ipoh, bulan lepas.

“Pada tahun ini MTL dijangkakan akan lebih berat (impak) dari tahun-tahun yang lepas, kerana kita tahu apabila El Nino telah berlalu dan El Nino telah melanda banyak negara-negara terutamanya di negara ASEAN. 

“NADMA dengan kerjasama semua agensi penguatkuasaan telah mengenal pasti titik-titik hitam yang dijangka akan berlaku luruan hujan yang luar biasa di tempat-tempat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 di Dewan UMNO Bagan Datuk, di sini hari ini.

Ahmad Zahid ketika ditanya jika terdapat negeri tumpuan sepanjang berlakunya MTL berkata Kelantan, Terengganu, negeri utara terutamanya Kedah dan negeri di selatan membabitkan Johor, Melaka serta Negeri Sembilan sering terjejas dengan MTL.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata pengagihan peranan telah dibuat kepada agensi penyelamat, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia dengan pangkalan stok bantuan makanan serta khemah pemindahan yang lengkap, termasuk bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menyentuh mengenai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menduduki peperiksaan ketika musim tengkujuh, beliau memberi jaminan kebajikan dan kelancaran proses ujian para pelajar, sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Ahmad Zahid berkata beliau telah membincangkan perkara itu bersama Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini bagi melaksanakan pelan luar jangka menempatkan pelajar terjejas ke asrama sekolah.

“Beliau (Fadhlina) menyatakan kepada saya di kawasan-kawasan yang dijangka berlaku banjir besar, pelajar-pelajar ini telah dikenal pasti dan akan dipindahkan di sekolah-sekolah yang ada asrama dan mereka mengambil peperiksaan di tempat-tempat berkenaan. Lembaga Peperiksaan juga telah bersiap siaga mengenai perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan penambahbaikan peraturan Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diperkenalkan sejak tahun lalu diteruskan dengan menyalurkan bantuan RM1,000 secara terus kepada setiap keluarga semasa mereka berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ahmad Zahid berkata langkah itu membolehkan mangsa menggunakan wang ihsan berkenaan serta-merta untuk urusan pembersihan rumah dan menggantikan peralatan yang rosak sejurus pulang, dengan syarat mangsa wajib berpindah secara sah ke PPS bagi mengelakkan ketirisan.

"Apabila banjir mereka berpindah dan ketika berada di PPS itulah wang itu akan diberikan kepada mereka. Dulu tunggu dua minggu, pergi ke bank untuk ambil wang, sekarang kita beri terus.

“Tetapi yang tak berpindah, walaupun ada masuk dalam senarai, kita tidak beri (BWI). Dengan syarat mesti pindah supaya wang itu tidak diselewengkan ataupun tidak disalurkan kepada pihak lain,” katanya.

Dalam pada itu pada majlis hari ini, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan keperluan asas Deepavali kepada 2,000 keluarga B40 di seluruh Parlimen Bagan Datuk, selain Bantuan Pendidikan Akhir Tahun sebanyak RM100 seorang kepada 700 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Bagan Datuk melibatkan peruntukan keseluruhan RM70,000.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menyampaikan sumbangan Smartboard TV kepada kesemua 16 SJKT di Parlimen Bagan Datuk, bagi menyokong kemudahan pembelajaran digital.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menyampaikan bantuan pendidikan sebanyak RM3,000 setiap tadika kepada kesemua 12 tadika kaum India di Parlimen Bagan Datuk, melibatkan peruntukan keseluruhan RM36,000.

-- BERNAMA