Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 1 Nov (Bernama) -- Pengguna di Malaysia mungkin terpaksa membayar lebih mahal untuk mendapatkan bawang India menjelang sambutan Deepavali berikutan pengeluaran di Maharashtra, negeri pengeluar bawang terbesar di India, dijangka merosot hampir 40 peratus akibat kekurangan hujan.
Taburan hujan yang tidak menentu serta kemarau ketika musim monsun tahun ini menyebabkan bekalan bawang lewat memasuki pasaran, sekali gus memberikan tekanan terhadap harga bawang di India.
"Kemarau mungkin menyebabkan pengeluaran bawang di Maharashtra merosot antara 30 hingga 40 peratus.
"Petani di seluruh India berdepan masalah kekurangan hujan akibat El Nino, manakala kelembapan tanah yang rendah turut menjejaskan pengeluaran bawang. Harga mungkin meningkat secara beransur-ansur," kata Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Hasil Pertanian Lasalgaon, Dnyaneshwar Kisan Jagtap kepada Bernama pada Sabtu.
Lasalgaon, sebuah bandar di Maharashtra, barat India, menempatkan pasar bawang terbesar di Asia dan menjadi pusat penting dalam menentukan harga bawang di negara itu.
Jutaan penganut Hindu di seluruh dunia akan menyambut Deepavali, yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya pada 8 Nov ini.
Permintaan terhadap bawang merah India dijangka melonjak menjelang perayaan itu berikutan penggunaannya yang meluas dalam masakan India.
India merupakan antara pengeluar bawang terbesar dunia selepas China, dengan pengeluaran tahunan kira-kira 30 juta tan.
Menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Eksport Produk Pertanian dan Makanan Diproses India, negara itu mengeksport kira-kira 1.5 juta tan metrik bawang segar tahun lepas.
Malaysia memperoleh lebih separuh daripada bekalan bawangnya melalui import dari India, dengan sebahagian besar penghantaran berasal dari Maharashtra.
Negeri itu juga menyumbang lebih 50 peratus kepada keseluruhan eksport bawang India.
Harga bawang di pasaran India ketika ini sekitar 60 rupee (RM2.56) sekilogram, manakala pemain industri memaklumkan bahawa harga eksport bawang merah sekitar US$500 hingga US$700 (RM2,029 hingga RM2,841) bagi setiap tan metrik, bergantung pada destinasi.
"Kami berharap pertumbuhan tanaman bawang akan bertambah baik selepas Diwali (sebutan Deepavali di utara India) susulan hujan yang turun sejak beberapa hari kebelakangan ini.
"Bagaimanapun, pemulihan yang lebih ketara hanya dijangka berlaku pada musim monsun akan datang, sekitar Julai atau Ogos," kata Jagtap.
Bekalan bawang masih terhad dan harga terus mengalami turun naik, manakala petani dijangka berdepan tekanan kewangan sepanjang musim perayaan.
Sementara itu, pengeksport utama yang berpangkalan di bandar Nashik, Maharashtra, Sanjay Holkar berkata harga bawang dijangka terus dipengaruhi keadaan bekalan menjelang Deepavali.
"Pasaran dijangka kekal sensitif terhadap keadaan bekalan sekitar sambutan Diwali. Tekanan harga mungkin berkurangan apabila lebih banyak hasil bawang daripada tanaman musim monsun memasuki pasaran.
"Namun, sejauh mana harga akan turun bergantung pada jumlah pengeluaran sebenar, bekalan yang memasuki pasaran serta permintaan.
"Negara pengimport bawang India seperti Malaysia mungkin berdepan kos pembelian yang lebih tinggi sekiranya harga borong dan eksport di India kekal tinggi," katanya kepada Bernama.
Kementerian Hal Ehwal Pengguna, Makanan dan Pengagihan Awam India dalam kenyataan bertarikh 9 Okt memaklumkan bahawa bekalan bawang daripada tanaman musim monsun mula memasuki pasaran dari negeri pengeluar utama termasuk Karnataka, Andhra Pradesh dan Rajasthan, manakala stok simpanan sedia ada terus memenuhi permintaan.
"Bekalan dari kawasan pengeluar berkenaan dijangka terus meningkat dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus meningkatkan ketersediaan bawang di pasaran menjelang musim perayaan," menurut kementerian itu.
Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), penggunaan bawang dalam kalangan rakyat Malaysia mencecah hampir 750,000 tan metrik setahun.
-- BERNAMA