KOTA BHARU, 1 Nov (Bernama) -- Kedudukan Kelantan yang terletak di sempadan menjadi antara cabaran dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata bagaimanapun, cabaran itu memerlukan kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pihak penguatkuasaan lain bagi memperkukuh usaha pencegahan serta membanteras kegiatan berkenaan.
“Antara masalah negeri sempadan ini, ada banyak benda baik yang dibawa dan kita dapat manfaatnya, begitu juga ada benda tidak baik yang kita turut menerima mudaratnya, tetapi ia bukan bermaksud kita tidak mahu bertanggungjawab.
“Kadang-kadang orang hendak membawa (dadah) ke tempat lain tetapi oleh kerana melalui negeri kita dan ditangkap di tempat kita, maka Kelantan yang timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shabuddin Hashim (BN-Galas) berhubung usaha kerajaan negeri memperkukuh langkah pencegahan dadah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohamed Fadzli berkata isu penyalahgunaan dadah perlu dilihat secara menyeluruh memandangkan terdapat pelbagai jenis bahan terlarang dengan corak penggunaan yang berbeza mengikut negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama semua pihak penting bagi memastikan usaha menangani masalah berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri turut mengaktifkan semula program Desa Taqwa menerusi pemilihan 10 kampung sebagai projek perintis di setiap jajahan bagi memperkukuh pembangunan komuniti dan menangani masalah sosial.
Beliau berkata sebelum ini sebanyak 101 Desa Taqwa diwujudkan secara berperingkat di seluruh Kelantan, namun pelaksanaannya dilihat semakin terpinggir.
“Jadi kita wujudkan semula 10 Desa Taqwa sebagai projek perintis untuk menjadikan program ini sebagai model pembangunan kampung contoh bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di seluruh negara.
“Usaha ini turut membuka ruang kerjasama antara agensi termasuk AADK, Pejabat Tanah dan agensi berkaitan menerusi pelbagai program kemasyarakatan seperti Cakna Rakyat, selain menjadikan Desa Taqwa sebagai salah satu platform memperluas usaha pencegahan dadah di peringkat komuniti,” katanya.
-- BERNAMA