IPOH, 1 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerima 25 aduan berkaitan pencemaran petrol RON95 yang dipercayai melibatkan campuran air dalam tangki simpanan bahan api berkenaan, sepanjang Oktober lepas.
Pengarah KPDN negeri Datuk Kamalludin Ismail berkata kesemua aduan diterima membabitkan lima daerah iaitu Kinta, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar dan Manjung.
Beliau berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berdasarkan aduan orang ramai dengan mengambil sampel petrol RON95 sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis dan pengesahan.
"Setakat ini kita masih belum menerima keputusan daripada Jabatan Kimia dan akan menunggu hasil analisis berkenaan sebelum menentukan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan kira-kira 1,200 peserta larian Pink 5KM and Purple Fun Run 2026 anjuran Perak Community Specialist Hospital di sini hari ini.
Beliau berkata aduan yang diterima setakat ini hanya melibatkan petrol RON95 dan tidak membabitkan diesel atau RON97.
Dalam pada itu, Kamalludin menasihati pengguna yang terjejas supaya menyimpan dokumen berkaitan serta bukti bagi membolehkan mereka mengemukakan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) atau melalui Mahkamah Sivil.
Tular beberapa hantaran di media sosial sejak kebelakangan ini apabila pengguna mendakwa bahan api jenis petrol RON95 yang disyaki bercampur air sehingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan.
Sementara itu, Presiden PCSH Datuk Lee Hau Hian berkata program larian yang dianjurkan dengan kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun serta Persatuan Pakar Obstetrik dan Ginekologi Ipoh Perak bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara dan kanser ginekologi.
Beliau berkata program larian tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif PCSH menerusi kempen Beyond Pink 2026-Prevention Can Save Her yang memberi penekanan terhadap kepentingan pencegahan, pengesanan awal dan kesedaran mengenai kanser dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, Lee berkata peserta larian turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM10,000 yang disumbangkan pelbagai pihak penaja.
Beliau berkata sejumlah RM5 daripada setiap yuran pendaftaran peserta larian turut disumbangkan kepada beberapa rumah anak yatim, pusat penjagaan orang kurang upaya dan pusat jagaan warga emas di negeri ini.
-- BERNAMA