Politik 01/11/2026 12:17 PM

PRN Melaka: Berkempen Dengan Sihat, Elak Isu 3R - Teo

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Melaka: Berkempen Dengan Sihat, Elak Isu 3R - Teo
Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan pada Program Serahan Sumbangan Deepavali DUN Bukit Permai di Kuil Arulmigu Mariamman hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KULAI, 1 Nov (Bernama) -- Semua parti politik, calon yang bertanding, serta penyokong masing-masing diingatkan supaya tidak mengemukakan atau mengeluarkan sebarang bahan yang menyentuh isu 3R (Agama, Kaum, dan Raja) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

​Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, biarpun pertikaman lidah atau pergeseran mungkin berlaku semasa kempen, semua pihak digesa agar menjalankan kempen yang sihat dan mengelakkan isu-isu sensitif tersebut.

​"Saya memang nak galakkan semua parti politik, semua calon dan juga penyokong-penyokong mereka yang terlibat, janganlah kemukakan apa-apa bahan yang menyentuh isu-isu 3R.

​"Biarlah kita mengadakan satu kempen yang sihat. Memang kita tidak boleh elakkan semasa kempen mungkin ada exchange of fires, tetapi biarlah kita laksanakan, jalankan satu kempen pilihan raya yang sihat dan biarlah kita elakkan isu 3R," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Serahan Sumbangan Deepavali DUN Bukit Permai di Kuil Arulmigu Mariamman, di sini hari ini.

​Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 Nov.

​Mengenai aspek keselamatan siber, Teo berkata insiden pencerobohan sistem yang berlaku di Kluang baru-baru ini harus dijadikan peringatan keras (wake-up call) kepada semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa.

​Menurut beliau, setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak menerima sebarang permohonan rasmi atau permintaan bantuan daripada pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK), namun agensi itu sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dari segi teknikal, nasihat, serta kepakaran sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar isu keselamatan siber tidak dipandang remeh memandangkan kebergantungan masyarakat terhadap Internet dan sistem awan (cloud) kini berada pada tahap yang sangat tinggi.

​"Jangan ingat bahawa tidak ada hacker yang akan hack sistem kita, sebenarnya risiko ini memang ada dan sebenarnya sangat tinggi," katanya sambil menekankan kepentingan memperuntukkan bajet pelaburan yang sewajarnya bagi memperkasakan keselamatan siber serta melaksanakan audit keselamatan secara berkala.

​Terdahulu, tular di media sosial insiden beberapa sistem paparan LED di sekitar Kluang digodam pihak tidak bertanggungjawab yang memaparkan video kandungan lucah.

​Susulan kejadian itu, MPK menerusi laman Facebook memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kerjasama pihak vendor bagi mengenal pasti punca, selain mengambil langkah pemulihan dan memperkukuh tahap keselamatan sistem masing-masing.

MPK turut memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kebimbangan yang timbul, di samping menegaskan bahawa pihak majlis memandang serius, mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut, serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan imej dan nama baik organisasi.

​-- BERNAMA