Am 01/11/2026 11:55 AM

Dana Inovasi Media 2.0 Perkasa Kemahiran Wartawan, Pacu Transformasi Digital

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dana Inovasi Media 2.0 Perkasa Kemahiran Wartawan, Pacu Transformasi Digital

Oleh Shaidathul Suhana Ros dan Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 disifatkan sebagai pemangkin penting dalam membantu syarikat media tempatan meningkatkan kemahiran wartawan serta membiayai pembelian peralatan teknologi bagi menghasilkan kandungan digital berkualiti tinggi ketika industri berdepan penyusutan ketara hasil pengiklanan.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata hampir 90 peratus tugasan pelaporan organisasi itu dilaksanakan secara individu, manakala peralihan kepada penghasilan kandungan berasaskan video menuntut wartawan dan editor menguasai kemahiran tambahan serta memiliki peralatan yang bersesuaian.

“Alhamdulillah, sokongan kerajaan dan kementerian menerusi dana ini dapat membantu syarikat media memberikan tumpuan kepada latihan serta perolehan peralatan teknologi terkini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 30 Okt lepas, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil mengumumkan peruntukan RM30 juta menerusi Dana Inovasi Media 2.0, dengan permohonan dibuka mulai hari ini hingga 14 Nov melalui portal rasmi dana berkenaan.

Zamri berkata Sinar Harian telah memanfaatkan geran fasa pertama tahun lepas bagi membiayai latihan kemahiran serta pembelian peralatan dan perisian untuk memenuhi keperluan pelaporan bagi akhbar dan platform digital, sekali gus meningkatkan mutu kewartawanan.

Beliau berkata pendapatan media konvensional semakin merosot apabila syarikat teknologi seperti Meta, Google dan TikTok menguasai sebahagian besar pasaran pengiklanan, menyebabkan syarikat media terpaksa mengutamakan pembayaran gaji berbanding perbelanjaan untuk latihan, peralatan dan perisian.

Sehubungan itu, Zamri berkata Sinar Harian akan memohon Dana Inovasi Media 2.0 dengan memberikan keutamaan kepada usaha memperkukuh penghasilan kandungan video menerusi latihan serta perolehan peralatan dan perisian berkaitan.

Sementara itu, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Media Prima Berhad, Datuk Farrah Naz Abd Karim berkata dana berkenaan membantu mempercepat usaha meningkatkan kemahiran wartawan serta menyediakan peralatan bagi memenuhi tuntutan penghasilan kandungan digital.

Beliau berkata Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima telah memanfaatkan dana fasa pertama untuk melaksanakan latihan teknikal serta menyediakan kit Kewartawanan Mudah Alih (MoJo), yang terbukti meningkatkan keyakinan wartawan dalam menghasilkan kandungan untuk pelbagai platform.

Farrah Naz, yang juga Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), berkata transformasi digital merupakan suatu keperluan, namun pelaksanaannya akan mengambil masa lebih panjang tanpa suntikan dana berikutan kekangan belanjawan tahunan syarikat.

Beliau turut mencadangkan supaya latihan khusus disediakan kepada barisan kepimpinan tertinggi editorial bagi membolehkan mereka menerajui pembaharuan serta memastikan kelangsungan perniagaan organisasi media.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Chan Aun Kuang berkata Dana Inovasi Media 2.0 membuka peluang kepada media vernakular untuk mempercepat transformasi digital dan meluaskan jangkauan pembaca baharu, di samping mengekalkan identiti bahasa, budaya serta keunikan editorial masing-masing.

“Teknologi seharusnya membantu kita memperkukuh identiti, meluaskan jangkauan dan membina jambatan yang menghubungkan pelbagai komuniti, bukannya menghakis keunikan yang menjadi ciri tersendiri media vernakular,” katanya.

Chan berkata dana berkenaan boleh dimanfaatkan untuk pelaburan dalam pembangunan platform digital, kewartawanan mudah alih, penerbitan multimedia dan analisis data, selain menaik taraf teknologi serta meningkatkan kemahiran warga bilik berita.

Beliau berkata platform digital juga berpotensi memperkenalkan perspektif dan tradisi masyarakat Cina kepada komuniti lain, manakala penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penterjemahan, penyediaan sari kata dan penghasilan kandungan dapat membantu media mendekati golongan muda serta khalayak yang menguasai pelbagai bahasa.

Bagaimanapun, Chan menegaskan bahawa AI perlu kekal sebagai alat sokongan, manakala tanggungjawab editorial hendaklah terus berada di bawah kendalian wartawan.

Senada dengan pandangan itu, Pengarah Urusan Makkal Osai, Datuk S. Gopalakrishnan berkata bantuan kewangan berkenaan amat bermakna dalam membantu akhbar tradisional beralih kepada platform digital, selain menyokong kelangsungan operasi serta menjaga kebajikan pengamal media Tamil ketika hasil pengiklanan media cetak terus merosot.

“Bagi syarikat akhbar tradisional terkemuka seperti Makkal Osai, cabaran utama adalah untuk menukar pembaca cetak sedia ada kepada pengguna digital yang setia, di samping memanfaatkan kekuatan jenama yang telah lama bertapak dalam kalangan masyarakat India di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pembiayaan itu boleh dimanfaatkan untuk membangunkan portal berita, aplikasi mudah alih dan platform media sosial bagi menarik pembaca muda, selain menyediakan latihan dalam kewartawanan data, multimedia serta keselamatan siber untuk meningkatkan mutu pelaporan.

Gopalakrishnan berkata sokongan terhadap media Tamil penting bagi memastikan masyarakat India di Malaysia terus mendapat akses kepada berita dan isu tempatan yang dilaporkan berdasarkan perspektif budaya serta bahasa mereka sendiri.

Dana Inovasi Media 2.0 menawarkan lima skop pembiayaan merangkumi latihan pekerja media; perisian dan adaptasi teknologi; peralatan, perkakasan dan kemudahan sokongan; penyelidikan dan pembangunan kandungan; serta skop baharu bagi langganan perkhidmatan berita dan kandungan media.

Semalam, Fahmi berkata syarikat media yang menerima Dana Inovasi Media 2.0 disyaratkan supaya tidak memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya walaupun berdepan kekangan kewangan.

-- BERNAMA