Politik 01/11/2026 12:17 PM

Pilihan Raya Bukan Pembaziran, Medan Penting Rakyat Tentukan Mandat Tadbir Melaka - Adly 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pilihan Raya Bukan Pembaziran, Medan Penting Rakyat Tentukan Mandat Tadbir Melaka - Adly 
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil Adly Zahari (dua, kiri) mengadakan Sidang Media Harian PH di Bilik Gerakan Utama PH hari ini. Turut hadir Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong (dua, kanan).

MELAKA, 1 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menolak dakwaan parti tertentu yang melabelkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sebagai buang masa dan membazir wang rakyat, sebaliknya ia satu proses demokrasi serta medan penting bagi rakyat menentukan mandat pentadbiran negeri.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata dalam sistem demokrasi, selain bergantung kepada penyokong sendiri, PH juga memilih untuk merayu sokongan terbuka daripada seluruh rakyat Melaka untuk memperoleh mandat mentadbir negeri.

Adly yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berkata parti politik lain mungkin berupaya melakar kemenangan dengan hanya bersandarkan kepada sokongan ahli parti mereka semata-mata, namun PH memilih untuk merayu sokongan seluruh rakyat Melaka.

Justeru beliau yang juga Naib Presiden Amanah berkata kemenangan gabungan parti dalam PH, hanya boleh dicapai menerusi kepercayaan penuh masyarakat, bukannya bergantung kepada kelompok tertentu sahaja.

“Memang saya tidak nafikan Barisan Nasional boleh menang dengan sokongan ahli-ahli mereka, tetapi kita Pakatan Harapan memanfaatkan pilihan raya ini untuk merayu kepada rakyat negeri Melaka bagi memberikan sokongan kepada kita.

“Kita hanya boleh menang dengan sokongan daripada rakyat negeri Melaka. Kuasa mentadbir bukan hak kekal pada mana-mana parti dan pengundi tidak berhutang mandat dengan sesiapa, kerana pada akhirnya kuasa demokrasi adalah kuasa rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini, yang turut disertai Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong.

Sementara itu, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata maklum balas awal yang diterima daripada 24 calon PH di lapangan mendapati, rakyat masih menyuarakan keresahan berhubung bebanan bil air, kesukaran memiliki kediaman, akses kepada bantuan kebajikan, isu banjir berulang serta kekangan modal dan sewa bagi peniaga kecil.

Beliau mengingatkan Barisan Nasional (BN) yang memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN lalu agar bertanggungjawab menjelaskan penyelesaian kepada keluhan berkenaan dan bukannya bersikap seolah-olah baru memegang tampuk pentadbiran negeri.

“...dan rakyat berhak bertanya jika urusan asas pun masih tak dapat diselesaikan dan masih dikeluhkan oleh rakyat, atas ukuran apa pentadbiran sedia ada mahu terus dibanggakan? Papan tanda boleh bertukar dan slogan boleh diperbaharui, tetapi mutu perkhidmatan mesti membuktikan hasil yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA