Am 01/11/2026 01:28 PM

Bukan Sekadar Urusan Perundangan, AGC Turut Terlibat Program Kemasyarakatan - Mohd Dusuki

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bukan Sekadar Urusan Perundangan, AGC Turut Terlibat Program Kemasyarakatan - Mohd Dusuki
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penyerahan Prasarana Rekreasi Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2026 di Taman Pinggiran Warisan, Kampung Kok Lanas hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU, 1 Nov (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) bukan sahaja berperanan mengendalikan urusan perundangan, malah turut turun padang menerusi pelaksanaan program kemasyarakatan, kata Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Beliau berkata penglibatan AGC dalam Program Sekolah Angkat MADANI mencerminkan komitmen jabatan itu untuk menyumbang kepakaran dan sokongan kepada masyarakat, khususnya dalam membantu memenuhi keperluan prasarana pendidikan.

Mohd Dusuki berkata terdapat pihak yang mempersoalkan penglibatan agensi kerajaan dalam program seumpama itu, termasuk membangkitkan perkara berkenaan di Parlimen.

“Takkanlah kita nak duduk di pejabat sahaja? Kita pun kena turun padang untuk membantu masyarakat. Itu saya rasa boleh dapat pahala, malah digalakkan dalam Islam.

“Takkan kita duduk di pejabat baca buku, berhujah di mahkamah sahaja. Tidak semestinya begitu. Kita turun ke tempat-tempat dalam kalangan masyarakat untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI AGC di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor di sini hari ini.

Menerusi program itu, peruntukan RM100,000 daripada kerajaan digunakan bagi melaksanakan transformasi fizikal dan digital sekolah berkenaan, dengan empat projek utama berjaya disiapkan untuk manfaat murid dan guru.

Projek berkenaan merangkumi pembangunan Hab Digital Pusat Sumber Puan Sri Nik Karthini, pembinaan Studio TV Pusat Sumber Sekolah, penambahbaikan Dewan Aspirasi menerusi pemasangan 12 unit kipas industri dan sistem pembesar suara baharu serta pembinaan Anjung Dusuki untuk kegunaan murid Program Pendidikan Khas Integrasi.

Mohd Dusuki berkata pelaksanaan projek berkenaan adalah hasil kerjasama AGC dengan pihak pengurusan sekolah menerusi beberapa sesi mesyuarat penyelarasan bagi mengenal pasti keperluan prasarana serta memastikan kebajikan murid menjadi keutamaan.

Beliau berkata program itu turut mencerminkan hasrat kerajaan untuk memastikan agenda pembangunan negara tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut dirasai masyarakat pada peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Mohd Dusuki berkata AGC turut berhasrat menyumbang melalui perkongsian ilmu berkaitan kesedaran undang-undang, pembentukan disiplin dan penerapan nilai integriti dalam kalangan murid.

Katanya, usaha itu diharap dapat membantu meringankan beban guru dalam membentuk sahsiah pelajar serta melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kekuatan moral.

Beliau turut menggesa murid SK Pasir Hor memanfaatkan kemudahan baharu yang disediakan dengan sebaik-baiknya, belajar bersungguh-sungguh serta mematuhi nasihat guru dan ibu bapa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Datuk Amzan Abd Malek dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Siti Norina Muhamad.

-- BERNAMA