Ekonomi 01/11/2026 10:57 AM

Bermula Dari Rumah, Kecekalan Seorang Ibu Dorong Perniagaan Berasaskan Durian Belanda Makin Berkembang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bermula Dari Rumah, Kecekalan Seorang Ibu Dorong Perniagaan Berasaskan Durian Belanda Makin Berkembang
Pengusaha produk minuman berasaskan durian belanda, Zai Suhana Mohd Tap. -- Kredit foto: Bank Muamalat Bhd

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Ketika anaknya disahkan menghidap kanser mata, Zai Suhana Mohd Tap, 44, terpaksa membuat keputusan yang sukar untuk meninggalkan pekerjaan agar dapat memberikan sepenuh perhatian kepada penjagaan anak dan pada masa sama menjana sumber pendapatan lain untuk membantu menyara keluarga.

Rawatan dan penjagaan anaknya kekal sebagai keutamaan, namun tanggungjawab untuk menjana sumber pendapatan tidak boleh dipandang ringan.

Akhirnya perniagaan secara kecil-kecilan menghasilkan minuman berasaskan durian belanda membuka ruang kepada beliau untuk mengimbangi kedua-dua tanggungjawab itu. 

Pada 2017, Zai Suhana memulakan langkah pertama dari rumah dalam perniagaan minuman durian belanda dengan mempelajari sendiri kaedah memproses buah itu dan menyediakan minuman untuk dijual. Ketika itu, beliau hanya mampu menghasilkan antara 50 hingga 100 botol bagi setiap pengeluaran.

Perniagaan itu bermula dengan pelanggan dalam kalangan masyarakat setempat. Bagaimanapun, apabila tempahan semakin bertambah, usaha kecil yang pada mulanya sekadar membantu menambah pendapatan keluarga mula memperlihatkan potensi untuk berkembang.

“Saya tidak pernah menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya mengimbas kembali perjalanan perniagaannya.

Hari ini, syarikat beliau Zaieys Global Resources berupaya menghasilkan kira-kira 3,000 botol minuman setiap bulan. Pilihan produknya juga semakin bertambah dengan memperkenalkan perisa asli, madu dan lemon manakala jualan secara dalam talian membolehkan beliau mendapat pelanggan dari seluruh Malaysia.

Perniagaan yang berkembang bukan sahaja membuka peluang baharu kepada keluarganya, malah menuntut Zai Suhana mempelajari selok-belok untuk menguruskan perniagaan yang semakin maju.

 

Daripada permintaan kepada pertumbuhan mampan 

Seiring dengan perkembangan perniagaan, kos operasi turut meningkat. Oleh itu, akses kepada pembiayaan dan bimbingan praktikal perniagaan menjadi langkah penting seterusnya bagi Zai Suhana.

Pada 2022, beliau menerima bantuan kewangan bagi membeli peralatan, menambah stok dan meningkatkan kapasiti pengeluaran menerusi program iTEKAD Bank Muamalat Bhd.

Program keusahawanan iTEKAD membantu usahawan mikro berpendapatan rendah untuk memperkukuh pengurusan kewangan dan kemahiran perniagaan bagi menjana pendapatan yang mampan.

Selain bantuan kewangan,  khidmat bimbingan, latihan perniagaan dan panduan berkaitan keusahawanan dan pemasaran juga disediakan. Sokongan itu membantu Zai Suhana untuk melihat perniagaan dari sudut yang lebih luas, bukan sekadar memenuhi pesanan harian, malah menyusun langkah untuk mengembangkan lagi perniagaan itu.

“Idea dan bimbingan yang diberikan membantu saya melihat perniagaan ini dari perspektif berbeza. Saya mengaplikasikan banyak ilmu yang dipelajari dan usaha ini membantu perniagaan saya untuk terus berkembang,” katanya.

Zai Suhana kemudiannya mempelbagaikan produk yang sebelum ini tertumpu kepada minuman dalam botol dengan memperkenalkan produk berasaskan durian belanda yang lain, termasuk teh dan produk buah yang diproses.

Kepelbagaian produk yang ditawarkan memberikan beliau lebih banyak peluang untuk memenuhi keperluan pelanggan, sekali gus membuka ruang untuk menjana pendapatan tambahan.

Pengalaman Zai Suhana menggambarkan cabaran yang turut dihadapi kebanyakan pemilik perniagaan kecil.

Mempunyai produk yang mendapat sambutan merupakan permulaan penting, namun memastikan perniagaan itu terus bertahan dan berkembang memerlukan sumber kewangan, kemahiran serta keyakinan untuk melangkah ke tahap seterusnya

 

Pensijilan halal buka peluang baharu

Dengan bimbingan daripada Bank Muamalat, Zai Suhana turut berjaya mendapat pensijilan halal untuk perniagaannya pada 2024. Pencapaian itu menandakan satu lagi langkah penting dalam usahanya untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan menembusi pasaran yang lebih luas. 

Sokongan yang diterima membantu beliau membina asas perniagaan yang lebih kukuh, bermula daripada meningkatkan pengeluaran dan mempelbagaikan produk sehingga memenuhi keperluan pensijilan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata usaha membantu usahawan memperkukuh keupayaan menjana pendapatan merupakan antara matlamat utama program berkenaan.

“Bagi usahawan yang perlu mengimbangi urusan perniagaan dengan tanggungjawab terhadap keluarga, peluang menjana pendapatan secara mampan mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan.

“Menerusi iTEKAD, kami menggabungkan sokongan kewangan dengan bimbingan perniagaan secara praktikal bagi membantu peserta memperkukuh operasi perniagaan dan membina kehidupan yang lebih terjamin.

“Kejayaan Zai Suhana mencerminkan keazaman serta kesediaannya untuk terus belajar. Peranan kami adalah untuk membantu beliau mengembangkan usaha itu dengan menyediakan sokongan yang memenuhi keperluan perniagaan seiring dengan perkembangannya,” katanya.

Dengan pensijilan halal yang telah dimiliki, Zai Suhana menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memasarkan produknya kepada lebih ramai pelanggan di seluruh negara.

-- BERNAMA