Am 29/10/2026 08:24 PM

Lebih 700 Anggota APM N.Sembilan Siap Siaga Kemungkinan Banjir Susulan MTL

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 700 Anggota APM N.Sembilan Siap Siaga Kemungkinan Banjir Susulan MTL

SEREMBAN, 29 Okt (Bernama) -- Lebih 700 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula Selasa lepas.

Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata kesiapsiagaan itu meliputi penugasan anggota serta persediaan aset dan logistik dengan keanggotaan akan bertambah mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata tumpuan turut diberikan kepada 20 kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko banjir di negeri ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.

“Selain itu, pemantauan berterusan serta penyelarasan bersama agensi berkaitan termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penduduk terutama yang berada di kawasan berisiko,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Sekretariat JPBN Negeri Sembilan berkata mesyuarat pada 19 Sept lepas turut membincangkan penyelarasan tenaga kerja dan logistik bagi memastikan setiap agensi bersedia menghadapi MTL.

Mohd Nazri berkata orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir perlu sentiasa peka terhadap keadaan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk sekiranya diarahkan berpindah bagi menjamin keselamatan mereka.

 Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip baru-baru ini dilaporkan berkata MTL dijangka berterusan hingga Mac tahun hadapan.

Beliau berkata semasa fasa awal MTL dari November hingga Januari depan, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka melanda negara dan situasi berkenaan berisiko mengakibatkan banjir di kawasan rendah serta berhampiran sungai.

Selain itu, katanya, tiupan angin Timur Laut yang berterusan dan kencang juga berisiko menyebabkan laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.

-- BERNAMA