Dunia 29/10/2026 09:12 PM

ASEAN Perlu Perkukuh Rantaian Bekalan Makanan, Hadapi Ketidaktentuan Geopolitik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ASEAN Perlu Perkukuh Rantaian Bekalan Makanan,  Hadapi Ketidaktentuan Geopolitik

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 29 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dalam rantaian bekalan makanan serantau bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman cuaca ekstrem, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata negara anggota ASEAN perlu mengambil tindakan dan tanggungjawab bersama serta mempergiat perbincangan bagi menangani cabaran rantaian bekalan makanan serantau.

“Contohnya, apabila berlaku jerebu, kita berharap ASEAN dapat mengambil tindakan bersama melalui perbincangan dan kerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan, termasuk sayur-sayuran, beras dan daging, tidak terjejas.

“Kalau satu negara ASEAN menghadapi masalah, kita akan mengambil tanggungjawab bersama kerana kita juga bakal berdepan fenomena super El Nino yang dijangka membawa perubahan cuaca dan berkemungkinan menjejaskan pengeluaran makanan,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Mohamad menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan ke-48 (AMAF) yang dipengerusikan Singapura pada Khamis. 

Singapura, yang bakal mempengerusikan ASEAN pada 2027, secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi AMAF daripada Filipina.

Menurut Mohamad, Malaysia turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi makanan bagi menangani cabaran rantaian bekalan makanan serantau.

“Jadi di antara negara-negara ASEAN (diharap) akan bekerjasama untuk membantu satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar Singapura Grace Fu menekankan keperluan memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi luar bagi menangani cabaran yang merentasi sempadan negara dan serantau.

Sehubungan itu, beliau berkata Singapura selaku Pengerusi AMAF akan membentangkan kertas konsep mengenai Pakatan Daya Tahan Sekuriti Makanan 2045, iaitu rangka kerja jangka panjang yang bertujuan memperkukuh daya tahan serantau dalam aspek ketersediaan makanan, penyesuaian terhadap perubahan iklim, teknologi, rantaian bekalan, kesiapsiagaan kecemasan dan pembiayaan.

"Singapura juga sedang meneroka kaedah untuk memperkukuh sokongan kepada pekebun kecil di Asia Tenggara dengan menggembleng kerjasama antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan lain bagi mempercepat pembangunan serta pelaksanaan penyelesaian berdaya tahan iklim di seluruh rantau ini.

"Secara keseluruhannya, inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama kita untuk membina ASEAN yang lebih berdaya tahan, mampan dan terjamin dari segi bekalan makanan," katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: Singapura, AMAF, ASEAN, rantaian bekalan, sekuriti makanan

 


AAH KHL KLS