KOTA BHARU, 29 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 30 pendatang dalam serbuan di sebuah lombong bijih besi di Kampung Gual Dalam, Rantau Panjang dekat sini awal pagi tadi.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata tangkapan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan kira-kira 5 pagi itu, melibatkan 16 lelaki warga Bangladesh serta 12 lelaki dan dua wanita Indonesia.
Beliau berkata serbuan dilakukan di beberapa kabin yang dijadikan tempat penginapan pekerja, sebelum meminta individu di situ mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan mereka tiada dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan permit kerja serta mengemukakan pasport mencurigakan dan tamat tempoh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata PGA sentiasa mempergiat pemantauan dan risikan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang khususnya membabitkan pendatang asing di sempadan negara.
-- BERNAMA