Am 29/10/2026 09:22 PM

HRD Corp Lancar JJBL 2026 Bantu Majikan Selesai Tunggakan Levi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
HRD Corp Lancar JJBL 2026 Bantu Majikan Selesai Tunggakan Levi
fb HRD Corp - Human Resource Development Corporation

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) melancarkan kempen Jelajah Jom Bayar Levi (JJBL) bagi membantu majikan berdaftar menjelaskan tunggakan levi pembangunan sumber manusia melalui kemudahan pengecualian faedah hingga 100 peratus.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pembayaran levi bukan sekadar memenuhi kewajipan majikan, malah merupakan pelaburan dalam pembangunan kemahiran pekerja dan masa depan tenaga kerja negara. 

“Setiap ringgit yang dilaburkan dalam pembangunan kemahiran berpotensi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing perniagaan dan membuka peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada rakyat,” katanya.

Kempen itu bertujuan menggalakkan majikan menyelesaikan tunggakan levi di samping memudahkan urusan pembayaran dan memperkukuh pematuhan terhadap kewajipan pembayaran levi.

Menerusi kempen itu, majikan berdaftar yang layak boleh mendapat pengecualian faedah berdasarkan kaedah dan tempoh penyelesaian bayaran yang dipilih. 

Majikan yang menjelaskan keseluruhan bayaran dalam tempoh tiga bulan akan menikmati pengecualian faedah sebanyak 100 peratus, manakala mereka yang menyelesaikan dalam tempoh dua hingga enam bulan layak mendapat pengecualian 75 peratus. Majikan yang menyelesaikan tunggakan dalam tempoh tujuh hingga 12 bulan pula akan menikmati pengecualian sebanyak 50 peratus.

Menurut kenyataan itu, tawaran berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat, pengesahan rekod dan kelulusan HRD Corp. 

Majikan boleh membuat pembayaran secara sekali gus atau ansuran mengikut tempoh penyelesaian yang ditetapkan, bagaimanapun pengecualian ini hanya melibatkan faedah, manakala tunggakan levi pokok tetap perlu dijelaskan sepenuhnya.

Majikan juga boleh membuat semakan akaun dan mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada pegawai HRD Corp. 

Permohonan kempen dibuka mulai 29 Okt hingga 31 Dis 2026 bagi membolehkan majikan yang layak menyemak kedudukan akaun dan merancang penyelesaian tunggakan masing-masing. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz berkata pelaksanaan JJBL mencerminkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dengan majikan melalui pendekatan yang lebih terbuka, telus dan memudahkan urusan mereka. 

“Pematuhan terhadap tanggungjawab pembayaran levi amat penting, namun kami juga memahami keperluan untuk menyediakan ruang kepada majikan mendapatkan penjelasan, menyemak kedudukan akaun dan menyelesaikan tunggakan mengikut pilihan yang tersedia.

“Melalui JJBL, kami mahu memastikan majikan mendapat maklumat yang tepat serta bantuan yang diperlukan, di samping memperkukuh keyakinan terhadap pengurusan levi dan pelaksanaan mandat HRD Corp,” katanya. 

Selepas pelancaran di Kuala Lumpur, HRD Corp akan memperluas program libat urus dengan majikan ke sekurang-kurangnya 15 lokasi lain di seluruh negara.

Siri jelajah ini turut menjadi platform untuk berkongsi perkembangan terkini mengenai perkhidmatan, kemudahan dan inisiatif HRD Corp, termasuk usaha penambahbaikan tadbir urus serta kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Inisiatif itu juga bertujuan memastikan caruman levi majikan diurus dengan lebih berkesan dan dapat dimanfaatkan untuk latihan serta pembangunan kemahiran pekerja. 

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan tujuh syarikat menerima sijil penghargaan atas pembayaran levi yang teratur dan menepati masa, tanpa sebarang tunggakan atau kelewatan, serta peningkatan penggunaan levi yang cemerlang  secara konsisten dari tahun 2023 hingga 2025. 

Penerima sijil itu ialah SPANCO Sdn Bhd, Tan Chong & Sons Motor Company Sdn Bhd, Deleum Technology Solutions Sdn Bhd, Gamuda Land (Kemuning) Sdn Bhd, MMC Pembetungan Langat Sdn Bhd, Grolier (Malaysia) Sdn Bhd dan Hitachi Construction Machinery (Malaysia) Sdn Bhd.

-- BERNAMA