KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Perpaduan dengan Parti Bersatu serta Ahli-Ahli Parlimen Bebas, disifatkan sebagai langkah signifikan memperkukuh kestabilan politik negara dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.
Perjanjian melibatkan 13 Ahli Parlimen itu, disambut baik pelbagai pihak dalam Pakatan Harapan (PH) yang melihat langkah berkenaan membolehkan fokus penuh diberikan kepada pertumbuhan ekonomi dan agenda pembaharuan negara.
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata pemeteraian CSA tersebut, mengambil templat sama seperti CSA yang dimeterai antara kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan pada tahun 2021.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata walaupun Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memiliki sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, sokongan tambahan itu akan memantapkan lagi kedudukan pentadbiran negara sehingga ke penghujung penggal Parlimen.
“Perkembangan ini mencerminkan kematangan demokrasi apabila pihak pembangkang dan Ahli Parlimen Bebas, sanggup mengetepikan perbezaan politik kepartian demi kepentingan negara, khususnya dalam menyokong agenda penting seperti Belanjawan 2027, reformasi institusi dan pindaan Perlembagaan.
“CSA bukan bermaksud pembangkang menyerah kepada kerajaan. Sebaliknya, ia membuktikan kerajaan dan pembangkang boleh bekerjasama demi kepentingan rakyat walaupun berbeza pandangan politik manakala mereka tetap bebas memainkan peranan semak dan imbang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Senada dengan pandangan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berkata CSA bukanlah perkara baharu dalam landskap politik tanah air dan merupakan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.
“Pihak yang menandatangani perjanjian mendapat manfaat, manakala kerajaan memperoleh kestabilan untuk melaksanakan agenda reformasi serta pembangunan negara. Namun, pemenang paling besar mestilah rakyat, kerana akhirnya setiap persefahaman politik perlu diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan rakyat,” katanya yang juga merupakan Setiausaha Agung PKR.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kestabilan yang terhasil daripada CSA, penting dalam memastikan kelancaran kelulusan dan pelaksanaan Belanjawan.
Ahli Parlimen Kulai yang juga merupakan Ketua Wanita DAP itu bekata sokongan tersebut, wajar disusuli komitmen jelas terhadap reformasi institusi serta akauntabiliti, selain memastikan rakyat mendapat manfaat nyata termasuk akses yang adil terhadap peruntukan pembangunan kawasan Parlimen.
“Terdapat duluan bagi CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan) dan ia boleh memberikan kestabilan untuk kelulusan dan pelaksanaan Belanjawan.
“Keutamaan mestilah untuk memastikan rakyat menerima manfaat yang nyata, termasuk akses yang adil kepada sumber pembangunan kawasan. Sokongan ini harus disertakan dengan komitmen yang jelas untuk mendorong pembaharuan institusi yang positif dan mempertanggungjawabkan kerajaan untuk melaksanakannya,” katanya.
Menyentuh mengenai pendekatan Kerajaan MADANI, Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata kerajaan sentiasa menghormati semua wakil rakyat yang dipilih tanpa mengira saiz atau kekuatan politik parti masing-masing.
Ahli Parlimen Segamat itu berkata walaupun mempunyai kelebihan majoriti dua pertiga di Parlimen, kerajaan memilih untuk terus berinteraksi dengan pihak pembangkang dan membuktikan bahawa rundingan boleh dilaksanakan dengan bermaruah, saling menghormati serta berpegang teguh kepada prinsip demokrasi tulen.
“Tidak seperti sesetengah gabungan yang mengutamakan sandiwara politik berbanding perundingan demokrasi yang tulen, Kerajaan MADANI telah membuktikan bahawa rundingan boleh dijalankan dengan penuh bermaruah, saling menghormati, dan komitmen yang teguh terhadap prinsip-prinsip demokrasi,” katanya.
Kerajaan hari ini menandatangani CSA dengan enam anggota Parlimen Bersatu yang diketuai Presiden Parti Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh yang lain termasuk anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
-- BERNAMA