SEREMBAN, 22 Okt (Bernama) -- Bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 seorang daripada Kerajaan MADANI memberi kelegaan kepada lebih 400 pemandu teksi dan kereta sewa di Negeri Sembilan terutamanya kepada mereka yang membuat persiapan bagi menyambut Deepavali.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bantuan berkenaan bukan sahaja dapat membantu meringankan beban kewangan penerima, malah boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan keperluan perayaan serta perbelanjaan harian keluarga.
"Nilai RM1,000 ini mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah atau menampung kos penyelenggaraan kenderaan sepenuhnya namun saya amat berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban belanja dapur, membantu tukar tayar, atau mengisi tangki minyak untuk anda terus keluar mencari rezeki.
"Sebelum ini saya berjanji akan beri sebelum Deepavali dan hari ini saya datang untuk sampaikan insentif ini sebelum Deepavali, bolehlah gunakan untuk keperluan nanti," katanya semasa berucap pada majlis penyerahan pemberian bantuan kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di sini hari ini.
Loke berkata bagi fasa seterusnya, bantuan akan disalurkan terus ke akaun bank penerima lain yang layak di seluruh negara menerusi pemindahan dana elektronik (EFT).
Loke berkata pihaknya akan meneruskan usaha membantu pemandu teksi menerusi program transformasi teksi bagi membolehkan golongan itu kekal berdaya saing dalam industri pengangkutan awam.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerjasama dengan pihak Proton bagi mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu, selain menyediakan kemudahan pembiayaan dan rebat bagi meringankan beban pemandu,” katanya.
Beliau berkata lebih 100 kenderaan ditempah menerusi program berkenaan bertujuan meningkatkan pendapatan pemandu melalui peluang pengiklanan di dalam kenderaan serta penggunaan aplikasi untuk mendapatkan penumpang.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata kerajaan akan terus mengeluarkan nombor pendaftaran khas dari semasa ke semasa, dengan kebiasaannya dua hingga tiga siri ditawarkan setiap tahun.
Bagaimanapun, beliau berkata kementerian tidak bercadang memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan berdasarkan nama atau perkataan tertentu, sebaliknya mengekalkan sistem sedia ada yang menggunakan kombinasi huruf dan nombor.
Loke berkata keputusan itu dibuat bagi mengekalkan sistem pendaftaran kenderaan yang diguna pakai di negara ini sejak sekian lama, meskipun kaedah nombor pendaftaran peribadi berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan.
Sementara itu, L. Jagathesan, 68, yang telah menjadi pemandu teksi selama 30 tahun berkata bantuan berkenaan dapat digunakan bagi persiapan perayaan Deepavali nanti.
Seorang lagi pemandu teksi dari Port Dickson, M. Selvaraju, 66, melahirkan rasa syukur atas penghargaan kerajaan kepada golongan berkenaan dan berharap usaha murni itu dapat diteruskan.
“Sumbangan ini membantu meringankan beban saya yang memiliki lima anak dalam membuat persiapan Deepavali tidak lama lagi,” katanya yang sudah 37 tahun mencari rezeki sebagai pemandu teksi.
Muhammad Auzai Azman, 28, yang menjadi pemandu teksi sejak 2024 pula berkata bantuan itu amat bermakna dalam membantu memenuhi keperluan harian pemandu sepertinya.
-- BERNAMA